Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, Myvi yang dilancarkan pada 16 November lalu menerima sambutan menggalakkan dengan setakat ini telah menerima 15,500 tempahan dan 1,900 daripadanya telah diserahkan kepada pembeli.

Katanya, 84 peratus daripada 15,500 tempahan itu melibatkan model berkapasiti 1.5 liter manakala selebihnya adalah 1.3 liter.

“Tempoh menunggu untuk Myvi baharu ini bergantung kepada varian dan warna dengan ketika ini warna Dark Grey bagi varian 1.5 liter mendapat permintaan yang tinggi.

“Bahagian pengeluaran dan vendor kami bekerjasama termasuk bekerja lebih masa untuk mempercepatkan proses penghantaran dalam usaha memastikan masa menunggu tidak terlalu lama iaitu kira-kira dua minggu hingga sebulan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Perodua Eco-Challenge di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz dan Presiden Perodua Auto Corporation Sdn. Bhd., Masanori Takahashi.

Dalam majlis itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 apabila muncul juara keseluruhan dalam pertandingan Perodua Eco-Challenge tersebut mengetepikan sembilan pencabar lain yang terdiri daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Universiti berkenaan turut berjaya memenangi tempat pertama bagi kategori pembangunan bahagian kenderaan dan pemasaran produk sekali gus membawa hadiah wang tunai RM10,000 dan RM7,000.

Menurut Aminar Rashid, rekaan dan idea yang dihasilkan peserta pertandingan Perodua Eco-Challenge tahun ini adalah sangat membanggakan sekali gus menunjukkan kreativiti dan inovasi yang dimiliki pelajar institusi pengajian tinggi negara.

“Atas dasar itulah, kami sedang mempertimbangkan untuk membawa hasil kerja dan rekaan peserta pertandingan ini diberi kajian lebih teliti supaya produk ini dapat digunakan dalam model Perodua akan datang.

“Kami juga akan memberi keutamaan kepada pemenang untuk bekerja bersama Perodua selepas mereka menamatkan pengajian sekiranya terdapat kekosongan,” kata beliau.