Dengan kata lain, cara-cara mudah untuk menyaring saham-saham yang boleh memberikan hasil apabila dibeli sama ada untuk membuat keuntungan jangka masa singkat atau panjang.

Ramai orang memberitahu saya tentang keadaan mereka yang telah mempelajari tentang selok belok pasaran saham termasuk mempelajari ilmu analisis teknikal dan fundamental serta ada juga yang melanggan perisian carta untuk membantu dalam penyaringan saham-saham yang dipilih berdasarkan indikator-indikator teknikal, fun­damental sesebuah syarikat ataupun selain dari kedua­nya. Misalnya, indikator yang menggunakan jumlah dagangan sesuatu saham, saham-saham cergas atau momentum pergerakan saham. Mereka ini masih tidak dapat memilih saham yang berpotensi naik serta banyak membuat kesilapan yang meng­akibatkan mereka mengalami kerugian dalam pelaburan.

Oleh kerana pasaran saham negara kita merupakan satu bidang yang baru dipelopori oleh masyarakat Melayu, maka pelabur dan pedagang saham di negara kita boleh dikatakan ‘masih baharu’ lebih-lebih lagi dengan penerapan ilmu teknikal dan fundamental ini. Maka, boleh dikatakan kita semua di dalam proses percubaan untuk mencari kaedah-kaedah yang sesuai dan berkesan dalam membuat keputusan beli dan jual saham.

Untuk makluman pembaca, Bursa Saham Amerika Syarikat telah ditubuhkan pada 18 Mac 1817 sementara Bursa Saham Kuala Lumpur bermula 1930 dan melalui beberapa transformasi dan secara rasminya ditubuhkan pada 1964. Pada 2004, Bursa Saham Kuala Lumpur telah melalui proses demutualisation di mana ia merangkumi papan pertama dan kedua serta MESDAQ dengan jumlah modal pasaran sebanyak RM700 bilion (AS$189 bilion).

Ini bermakna pasaran saham kita berada agak jauh ke belakang di bandingkan de­ngan pasaran saham Amerika Syarikat. Maka sudah pasti juga tahap pendidikan dan pengetahuan pelabur dan pedagang kita berbeza dengan tahap ilmu dan pengalaman yang dimiliki oleh pelabur dan pedagang asing.

Banyak perubahan dan transformasi yang telah dilakukan oleh Bursa Malaysia untuk berada di kedudukan yang seiring dengan bursa-bursa dunia. Satu perubahan yang sangat ketara ialah mengurangkan kadar yuran pembrokeran bagi transaksi beli dan jual saham walaupun kadar sekarang tidak dinafikan masih lagi tinggi berbanding caj yang dikenakan di bursa luar negara.

Juga, dengan menjadikan transaksi jual beli saham, pemindahan saham serta pembayaran dividen secara elektronik sepenuhnya. Saya percaya ba­nyak lagi perubahan yang akan dilakukan oleh Bursa Malaysia untuk menjadikan pasaran saham Bursa Malaysia menarik dan kompetitif untuk menarik pelabur asing dan pelabur domestik baharu memasuki pasaran saham negara ini.

Maka, persoalan yang bermain-main di fikiran setiap orang ialah;

“Melakukan urus niaga saham secara aktif memerlukan seseorang itu mahir mengenal pasti saham-saham yang berpotensi naik tidak semudah yang disangkakan memandang­kan ramai yang masih kecundang dan tersilap beli saham syarikat tersenarai”.

Sebagaimana yang kita maklum, proses untuk memahirkan diri setelah mendapat lesen memandu memerlukan 2 tahun tempoh percubaan. Dalam proses ini, pemandu yang lulus ujian memandu di atas jalan raya kebiasaannya tidak akan memandu melebihi had laju 70km sejam sejurus mendapat lesen memandu. Banyak jalan yang asing bagi mereka seperti nama-nama jalan, bangunan yang ada di sepanjang jalan raya, simpang dan selekoh yang baru ditempuhi dan sebagainya. Maka, samalah juga keadaannya di dalam pasaran saham.

Banyak nama saham syarikat yang masih asing dan kita tidak tahu. Kita tidak menghafal atau mengingati harga tinggi rendah, saham-saham yang berada di gelanggang saham-saham aktif serta jumlah dagangan saham setiap hari dan sebagainya.

Maka, bagaimana kita boleh menjangkakan bahawa kita akan menjadi mahir sekelip mata jika kita tidak tahu semua ini? Sekadar membaca buku tanpa memerhatikan pergerakan dan perjalanan pasaran saham serta tiada amali tidak boleh menjadikan seseorang itu mahir. Mahir dalam erti kata lain beli saham mesti untung dan kurang risiko kerugian.

Untuk mengikuti langkah-langkah untuk berjaya di dalam pasaran saham, jangan lupa ikuti sambungannya pada ming­
gu hadapan.