ZAHARI HUSIN
ZAHARI HUSIN

Pengarah Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, penyerahan kese­luruhan pula mencecah 38,000 buah setakat minggu ketiga April 2018 yang membuktikan kereta itu mendapat perhatian pembeli di Malaysia.

Beliau berkata, pencapaian itu amat bermakna kerana Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengumumkan bahawa Perodua mencapai penguasaan pasaran sebanyak 41.5 peratus pada bulan Mac lalu.

“Kami amat gembira dan bersyu­kur kerana telah mencapai keputusan ini pada penghujung April lalu. Pada perkiraan kami, Myvi telah memperoleh 70,000 tempahan dari 8 November 2017 sehingga 30 April 2018 dan kami amat terharu dengan sam­butan yang diterima,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Menurut MAA, bermula Januari sehingga Mac, Perodua menjual sebanyak 55,568 kenderaan berbanding 135,140 buah jumlah keseluruhan industri (TIV) iaitu pe­nguasaan lebih 41 peratus pasaran tempatan untuk suku pertama 2018.

Pencapaian ini merupakan pe­ningkatan lebih daripada 10.5 peratus berbanding 50,260 buah yang didaf­tarkan pada suku pertama 2017, menjadikannya rekod suku pertama bagi Perodua dari segi jualan.

Jualan sebanyak 55,560 buah tersebut terdiri daripada 24,473 buah untuk Myvi, 14,962 unit untuk Axia, 10,101 buah untuk Bezza dan 6,032 unit untuk Alza. Sebanyak 18 peratus daripada semua kende­raan baharu yang didaftarkan di Malaysia pada suku pertama 2018 adalah model Myvi.

“Kami amat berteri­ma kasih kepada para pe­langgan kami secara khusus dan seluruh rakyat Malaysia secara amnya atas sokongan berterusan yang telah diberikan kepada Perodua,” kata Zahari.

Mengenai penghantaran pula, beliau berkata, Perodua sedang berusaha meningkatkan kecekapan operasinya bagi memastikan penghantaran dibuat dalam masa terdekat.

Beliau berkata, tempoh me­nunggu semasa untuk varian Myvi 1.5L adalah di bawah tiga bulan. Bagaimanapun bagi varian 1.3L, ianya boleh dihantar dengan segera buat masa ini.