Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo berkata, Tealive adalah produk kelahiran Malaysia yang diyakini mampu menembusi pasaran antarabangsa berikutan kualiti produk tersebut setanding dengan produk minuman jenama terkenal lain.

“Pada peringkat permulaan, kami akan memfokuskan untuk menembusi pasaran Asia dengan pembukaan lebih 20 cawangan di Vietnam sebelum meluaskan rangkaian ke seluruh dunia.

“Lebih 80 jenis minuman pelbagai perisa dikeluarkan oleh kami, malah lebih banyak inovasi akan dilakukan bulan depan untuk meningkatkan kualiti dan meme­nuhi citarasa pengguna,” katanya ketika ditemui di majlis mempromosikan minuman Tealive di pekarangan Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Bhd. sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Jabatan Pengarang Utusan Malaysia, Ainol Amriz Ismail; Pe­ngurus Komunikasi Pemasaran Utusan Malaysia, Nik Adura Zulia­na Nik Rashid; Pengarang Media Baharu Utusan Malaysia, Aznan Bakar; Penolong Pengarang Ekonomi Utusan Malaysia, Mohd. Fauzi Jaafar dan Penolong Pengurus Jenama, Loob Holding Sdn. Bhd., Engku Nurul Jannah Engku Diaudin.

Mengulas lanjut, Bryan memberitahu Tealive yang baharu ditubuhkan pada 19 Februari lalu mempunyai 163 cawangan di seluruh negara dan dijangka bertambah kepada 250 cawangan menjelang tahun depan.