Usaha ke arah itu dimeterai dalam majlis menandatangani Pemberian Tawaran Projek Usahasama Penghasilan Biogas dan Penjanaan Kuasa Elektrik Melalui Perjanjian Kerjasama Build-Own-Operate-Transfer (BOOT) dengan Concord Alliance Sdn. Bhd.

Majlis itu berlangsung di Dataran Syahbandar di tapak Ekspo Terengganu 2018 di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, Kuala Nerus dekat sini hari ini.

Ia ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Datuk Mohamat Muda dan Pengarah Eksekutif Concord Alliance Sdn. Bhd., Datuk Khai­ruddin Mohd. Hussin yang disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Projek pembangunan loji bio­gas itu memperkenalkan konsep penukaran sisa buangan kepada sumber pendapatan iaitu tenaga elektrik yang dihasilkan akan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah kuota Feed-In-Tariff (FIT).

Tawaran projek itu tertumpu di dua lokasi kilang kelapa sawit TDM Plantation Sdn. Bhd. di Terengganu iaitu Kemaman dan Sungai Tong, Setiu.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, penghasilan biogas dan penjanaan kuasa elektrik mempunyai nilai signifikan tinggi de­ngan bahan asas untuk diubah suai menjadi sumber tenaga.

"Kita mempunyai potensi menghasilkan tenaga kadar rendah dengan kuantitinya yang besar. Industri tenaga juga boleh diperbaharui menjadi keutamaan dalam Revolusi Industri (RE 4.0),” jelasnya dalam ucapannya.

Menurutnya, BOOT ber­upaya memberi manfaat antaranya memastikan pembangunan dengan alam sekitar mapan, menjana pendapatan tambahan kepada syarikat, menyedia peluang pekerjaan dan mrmbekal bahan kegunaan untuk kilang baja bio organik TDM.