ZAILANI SAFARI
ZAILANI SAFARI

Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Datuk Zailani Safari berkata, dalam memastikan pulangan jangka panjang, TDA mementingkan pelaksanaan program yang memberi keutamaan kepada usaha pemba­ngunan kapasiti industri tempatan bagi membolehkan mereka dinaik taraf dan digandingkan dengan pemain industri global.

Katanya, banyak pihak terlibat dalam menjayakan pelaksanaan ICP di Malaysia termasuklah syarikat antarabangsa dan tempatan sama ada agensi kerajaan, syarikat swasta sebagai pengeluar atau pembekal (OEM) dan juga penerima manfaat ICP yang terdiri daripada syarikat tempatan mahupun institusi pengajian tinggi tempatan.

“Mengambil contoh kerjasama antara kerajaan Malaysia dan CRRC China dalam bidang pemindahan teknologi, perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik dalam bidang sistem kereta api serta menyediakan platform untuk pengeluar dan pembekal Malaysia bagi mengembangkan keupayaan mereka melalui penempatan komponen kereta api dan pemasangan.

“Perolehan sembilan unit Set Kereta Api Elektrik (ETS2) dan 10 daripada 13 unit Diesel Multiple (DMUs) akan digunakan di Malaysia. Kerjasama ini bukan sahaja akan memperkuatkan hubu­ngan profesional sedia ada tetapi akan membantu pemain industri dalam membangunkan keupayaan mereka untuk teknologi rel dan menjana pertumbuhan ekonomi yang besar bagi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

TDA, agensi di bawah Kementerian Kewangan bertanggungjawab merancang, mengurus dan memantau pelaksanaan Program Kerjasama Perindustrian (ICP) di Malaysia.

Program tersebut dijangka mem­beri impak kepada pertumbuhan ekonomi negara dan membantu pembangunan dalam sektor terpilih dan strategik seper­ti pe­ngangkutan (laut, darat dan udara), tenaga, pertahanan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kesihatan dan infrastruktur awam.

Buat masa ini, ICP dilaksanakan terhadap program perolehan oleh Kementerian Pengangkutan; Kementerian Pertahanan; Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi; Kementerian Dalam Ne­geri; Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Jabatan Perdana Menteri dan agensi seperti MRT Corp dan Prasarana.

Setakat Disember 2017, TDA te­lah menguruskan 89 Program ICP dengan nilai perolehan berjumlah RM69.3 bilion. Daripada jumlah itu, 59 peratus atau RM40.89 bilion adalah di bawah program rel. Sebanyak RM28.4 billion nilai kredit ICP turut dikenal pasti menerusi 441 projek yang mana 49 peratus daripada projek rel. Ia melibatkan 321 syarikat tempatan yang terpilih melalui proses penilaian oleh TDA.

Menurut Zailani, TDA akan membuka peluang bagi memboleh­kan syarikat tempatan bergan­ding bahu dengan pemain in­dustri antarabangsa dan menaik taraf kedudukan mereka di dalam industri ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya.

.“Namun, komitmen berterusan daripada syarikat tempatan dan model perniagaan yang efektif adalah penting bagi memastikan usaha pemain industri tempatan ini membawa pulangan jangka panjang berimpak tinggi,” katanya.