Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Perniagaan Celcom, Azwan Khan Osman Khan berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Celcom komited menawarkan internet berkelajuan tinggi menerusi penawaran produk dan perkhidmatannya.

“Jika anda telah mengikuti kami selama tiga hingga empat tahun yang lalu anda pasti dapat melihat bahawa semua pelaburan yang dibuat Celcom adalah bagi menaik taraf mutu kualiti dan kelajuan liputan perkhidmatan dari 3G ke 4G dan kemudiannya ke evolusi jangka panjang 4G (LTE).

“Malah Celcom merupakan syarikat telekomunikasi pertama di Asia Tenggara yang berjaya melakukan percubaan rangkaian 5G walaupun kami tidak mempunyai rancangan untuk melancarkannya.

“Jadi kami komited sepenuhnya untuk meningkatkan kelajuan pada harga yang kekal berpatutan dan kami berharap untuk terlibat dengan menteri serta kementerian baharu ini untuk melihat apa yang dapat kami dapat lakukan untuk menyokong visi kerajaan,” katanya kepada pemberita pada sesi taklimat prestasi kewangan suku pertama Celcom di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Michael Kuehner; Ketua Pegawai Digital Celcom, Dave Morrow dan Ke­tua Pegawai Kewangan Celcom, Jennifer Wong.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berjanji untuk berusaha ke arah mencapai sambu­ngan jalur lebar dua kali ganda kelajuan pada separuh harga untuk rakyat.

Beliau berkata, orang ramai te­lah mengadu tentang kualiti jalur lebar di Malaysia yang jauh lebih rendah dari negara maju yang lain.

Katanya, beliau akan melihat pelbagai aspek termasuk masalah yang dihadapi oleh syarikat telekomunikasi dan mencari penyelesaian untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar di negara ini.

Pakatan Harapan dalam manifestonya sebelum ini turut berjanji akan menurunkan kos internet jalur lebar ke paras separuh dari sekarang dan pada masa yang sama mempertingkat kelajuannya sebanyak dua kali ganda.

Sementara itu, pada suku pertama 2018 menyaksikan Celcom mencatat hasil keseluruhan berjumlah RM1.636 bilion, pe­ningkatan sebanyak 2.3 peratus berbanding suku pertama tahun sebelumnya.

Hasil perkhidmatan pula meningkat dua peratus tahun ke tahun kepada RM1.504 bilion, lebih baik berbanding pertumbuhan Industri.

Syarikat telekomunikasi itu juga merekodkan pendapatan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM518 juta, manakala keuntungan selepas cukai dan kepen­tingan minoriti bagi suku pertama 2018 berjumlah RM187 juta.