ATP, anak syarikat Perak Corporation Bhd. (PCB) dengan pegangan sebanyak 51 peratus memberi alasan bahawa pihak­nya dan DreamWorks tidak mencapai persetujuan untuk membuka tarikan DreamWorks kepada orang ramai.

Menurut PCB, ATP mempunyai pilihan untuk melanjutkan perjanjian lesen itu kepada 30 September 2018 tetapi memutuskan untuk tidak melaksanakan pilihan tersebut bagi mempercepatkan pembukaan MAPS dengan segera.

Katanya, ATP akan bekerjasama rapat dan dijangka menandatangani perjanjian penamatan bersama dengan DreamWorks untuk memastikan semua obligasi yang belum selesai dilaksanakan sepenuhnya agar kedua-dua pihak dapat membatalkan perjanjian itu dengan baik.

“Ini termasuk mengeluarkan semua harta intelek DreamWorks daripada MAPS sebelum zon yang dikhususkan untuk tarikan DreamWorks dibuka kepada orang ramai

“Zon tarikan DreamWorks kini melalui proses pengubahsuaian untuk mengeluarkan semua harta intelek DreamWorks,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini.

MAPS telah dibuka pada 26 Jun 2017 tanpa tarikan Hollywood yang dinanti-nantikan oleh orang ramai iaitu DreamWorks.

Selepas proses itu selesai, ATP berhasrat untuk membuka zon tersebut dengan atau tanpa mana-mana harta intelek pihak ketiga.

Berdasarkan penyata kewa­ngan ATP yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, hak harta intelek berkaitan yang diperoleh di bawah perjanjian lesen diklasifikasikan sebagai aset tidak ketara dengan nilai bawaan sebanyak RM17.46 juta.

Jumlah itu bersama dengan inventori yang berkaitan dan anggaran pembangunan tarikan DreamWorks dalam kos kemajuan sebanyak RM15.74 juta akan dihapus kira pada tahun kewa­ngan semasa.

PCB berkata, lembaga pengarahnya berpendapat keputusan itu dibuat demi kepentingan ATP bagi memastikan keupayaannya terus beroperasi dan menjana keuntungan.

“Pembukaan MAPS sepenuh­nya dalam masa terdekat dijangka meningkatkan jumlah pengunjung, nilai hiburan dan pengunjung berulang yang membawa kepada hasil lebih tinggi bagi MAPS,” katanya.