MHTC, sebuah badan industri berkaitan kerajaan mengesahkan terdapat 72 kemudahan penjagaan kesihatan swasta di Malaysia yang kini sedang mempromosikan pelancongan perubatan - segmen pelancongan yang membawa pelbagai pihak berkepentingan dari sektor penjagaan kesihatan dan pelancongan.

"India menawarkan kita prospek pertumbuhan baru. Kami sedang meninjau kerjasama dengan peserta dalam industri pelancongan perubatan seperti agensi pelancongan, syarikat insurans, pusat penjagaan, pelaburan swasta dan mereka yang bekerja dalam rawatan tradisional dan pelengkap," kata Pengurus Kanan MHTC , Wong Toon Keng kepada penyedia perkhidmatan berita perjalanan bebas Travel News Alliance.

Beliau berkata, Malaysia merupakan pilihan yang baik untuk penjagaan kesihatan berkualiti bagi warga India yang ingin melancong ke luar negara sambil mendapatkan rawatan.

"Di Malaysia, kami menawarkan rawatan pada harga yang sama kepada warga asing dan warganegara.

"Dengan kehadiran kami pada acara ini, kita mahu mempamerkan kemudahan kami kepada India.

"Sebelum ini, kami telah mengambil bahagian pada dua acara promosi yang dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Pune dan Kochi untuk meningkatkan kesedaran," kata Wong.

Pegawai MHTC melawat hospital swasta terkenal di Delhi, Agra dan Jaipur semasa mereka berada di India.

Wong berkata, memandangkan pesakit luar negara biasanya diiringi oleh anggota keluarga dan saudara mara, adalah mudah untuk mencari penginapan yang berkualiti dan dejuga pada harga berpatutan di Malaysia.

Menurut MHTC, sebanyak 18,000 pelancong perubatan dari India mendapatkan rawatan di Malaysia tahun lepas.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Malaysia mencatatkan 12,000 pelancong perubatan India dan bilangan itu dijangka melebihi 20,000 bagi tahun ini.

Malaysia adalah sebuah destinasi percutian yang popular di Asia Tenggara bagi kaum India, dengan lebih 693,000 pelancong India ke negara ini tahun lepas.

Hubungan perniagaan antara Malaysia, anggota utama ASEAN, dan India telah berkembang dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Oleh itu, MHTC merancang untuk meningkatkan aktiviti promosi di India memandangkan negara itu menawarkan prospek pertumbuhan yang besar, katanya. - BERNAMA