Dakwa syarikat terbabit, peningkatan tersebut disebabkan pertumbuhan ekonomi yang sederhana.

Dan dedah syarikat itu lagi, bagi tempoh antara tahun 2014 hingga 2016, pihaknya berjaya menghalang tuntutan insurans palsu bernilai RM5.6 juta. Allianz turut merekodkan kenaik­an tuntutan Kerosakan Sendiri (OD) dan Kecederaan Badan Ketiga (TPBI). Itu jumlah yang berjaya dikesan.

Bagaimana dengan syarikat penanggung insurans atau pengendali takaful lain? Berapa banyak pula kerugian atau tuntutan palsu yang berjaya mereka bendung?

Alasan pertumbuhan eko­no­mi yang sederhana sebagai punca tuntutan insurans palsu menarik untuk diperkatakan. Semua pihak tahu bahawa kelembapan ekonomi menyaksikan banyak syarikat mengambil dan melaksanakan langkah-langkah tertentu untuk mengawal kos. Langkah itu menyaksikan ada pekerja yang dibuang kerja pada saat mereka juga berdepan dengan bebanan kos yang semakin meningkat.

Antara kos itu termasuk premium insurans kenderaan yang dilaporkan meningkat selepas pelaksanaan Liberalisasi Tarif Motor bermula awal bulan ini. Setiap kenderaan di Malaysia dimestikan mempunyai insurans, termasuk kenderaan lama sebelum cukai jalan boleh dikeluarkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ironinya, tidak semua daripada kita membuat tuntutan insurans, malah ada yang ha­­­nya membayar premium sepanjang hayat kenderaannya. Sebagai contoh, penulis sendiri sebelum ini hanya membayar premium insurans, termasuk untuk sebuah kende­raan lama yang berusia lebih 15 tahun.

Premium insurans untuk kenderaan lama itu juga me­ningkat berbanding tahun-tahun sebelum ini, sedangkan ia tidak lagi dilindungi sekiranya berlaku sebarang kemalangan.

Benar, tatkala berlaku kemalangan insurans sangat membantu, namun untuk membuat tuntutan tidak semudah di­sangka, ia memakan masa, ada ketikanya berbulan-bulan.

Pengalaman penulis yang pertama kali mengemukakan tuntutan insurans kemalang­an selepas berbelas tahun memandu kenderaan, proses tuntutan dan pembaikan kenderaan diselesaikan dalam tempoh 100 hari. Ada rakan memaklumkan yang pro­ses tuntutan insurans beliau mengambil masa lebih lama. Hendak tuntut perlu ada laporan polis dan penilai daripada syarikat insurans sebelum tuntutan diproses.

Ketika syarikat penanggung insurans bimbang mengenai trend penipuan yang mening­kat, mereka tidak pula memikirkan apa imbuhan atau insentif yang diberikan kepada pemilik kenderaan berjumlah berjuta-juta orang yang tidak mengemukakan tuntutan? Potongan NCD bukanlah jawapannya kerana pemilik kende­raan tetap perlu membayar premium insurans jika mahu memandu.

Belum ada kedengaran syarikat penanggung insurans bankrap akibat tuntutan melampau atau mungkin juga disebabkan penipuan dalam tuntutan, namun banyak kenderaan penulis lihat terutama kenderaan lama yang masih elok, tersadai tidak digunakan kerana pemiliknya tidak memperharui cukai jalan disebabkan enggan membayar insurans yang tinggi dan hakikatnya tidak lagi melindungi mereka jika kemalangan berlaku.

Penulis mengalu-alukan lang­kah syarikat insurans seperti Allianz menubuhkan unit khas bagi membendung tuntutan palsu kerana ia tidak wajar berlaku. Namun, pada masa sama hak pengguna juga harus diutamakan khususnya di bawah Liberalisasi Tarif Motor yang dilaporkan penanggung insurans dan pengendali takaful menetapkan sendiri kadar premium.

Menurut laporan, mulai 1 Julai 2017, pengiraan premium insurans kenderaan ditentukan berdasarkan risiko - semakin tinggi risiko pemandu menga­lami kemalangan, semakin tinggi harga insurans yang ditetapkan.

Dalam konteks ini, pihak Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin perlu menghalusi gesaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sebelum ini supaya pelaksanaan nyahtarif insurans kenderaan digantikan dengan Skim Liabiliti Tanpa Kesalahan (NFL) yang dilihat lebih rendah berbanding kebanyakan polisi insurans kenderaan semasa, atau apa-apa skim yang tidak terlalu membebankan pengguna.

Menurut CAP, pelaksanaan nyahtarif dijangka menjejaskan semua rakyat Malaysia yang memiliki kenderaan. Menurut Institut Penyelidikan Ke­selamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), terdapat 27.61 juta kenderaan berdaftar di Malaysia pada 2016 dan kesan nyahtarif ke atas setiap orang yang memiliki lesen kenderaan dakwa CAP, tidak dapat dibayangkan.