Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Tambang udara lebih murah?

Azmir Zain
Azmir Zain

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Suruhanjaya Penerbang­an Malaysia (Mavcom) menjangkakan purata harga tambang udara semakin rendah tahun ini berikutan persaingan sengit antara syarikat penerbangan di negara ini yang dilihat akan me­ningkatkan kapasiti mereka sebanyak 14.3 peratus.

Keadaan itu juga disebabkan peruntukan hak lalu lintas udara dalam tempoh enam bulan lalu menjadikan lebih banyak penambahan kekerapan frekuensi dan destinasi baharu diwujudkan oleh syarikat penerbangan.

Ketua Pegawai Operasi Mavcom, Azmir Zain berkata, situasi tersebut secara tidak langsung menyebabkan industri penerbangan dijangka merekodkan pertumbuhan hasil yang mendatar tahun ini disebabkan trend penurunan harga tambang yang terus berlaku sejak 2010.

Keadaan ini berlaku ujarnya, walaupun pertumbuhan trafik penumpang direkodkan antara 7.8 dan 8.8 peratus tahun ini dengan anggaran antara 98.3 dan 99.2 juta penumpang melepasi kadar pertumbuhan pada 2016.

“Ini berikutan permintaan yang lebih tinggi terhadap pengangkutan udara memandangkan purata tambang menyusut dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini dengan tambang untuk laluan antarabangsa menunjukkan penurunan yang lebih berbanding laluan domestik,” ka­tanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan laporan industri sulung Mavcom yang dikenali sebagai Waypoint di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Tan Sri Abdullah Ahmad.

Laporan itu yang akan diterbitkan dua kali setahun memberi gambaran keseluruhan mengenai industri penerbangan di Malaysia dan laporan sulung itu tertumpu kepada latar belakang industri mulai 2010 hingga 2016.

Berdasarkan laporan itu, jumlah pesawat bagi syarikat penerbangan di Malaysia meningkat daripada 177 kepada 278 pesawat dalam tempoh tujuh tahun ini manakala purata tambang bagi laluan domestik dan antarabangsa menurun 5.9 peratus dan lapan peratus setiap tahun.

Menurut laporan itu juga, Mav­com berjaya menyelesaikan 95 peratus daripada 2,000 kes aduan pengguna setakat Jun tahun ini. Suruhanjaya itu juga mendapati paling banyak aduan diterima menerusi bayaran balik tiket, kegagalan pengendalian bagasi serta penangguhan dan pemba­talan penerbangan.

Dalam pada itu, Azmir memberitahu, Mavcom masih mengkaji keperluan untuk menya­makan caj perkhidmatan pe­­numpang (PSC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 yang dijangka dikuatkuasakan pada Januari 2018.

Katanya, pelaksana­an PSC itu akan me­nyaksikan caj yang di­kenakan akan meningkat daripada RM50 kepada RM73 bagi penerbangan jarak jauh mulai tahun depan.

“Buat masa ini, kami sedang membangunkan rangka kerja jangka panjang untuk me­netapkan caj lapangan terbang. Ini ke­rana pada masa akan datang juga, Mavcom akan melihat ke­perluan untuk mengkaji ke­perluan bagi caj pendaratan dan meletak pesawat bersama-sama dengan PSC,” katanya.

Beliau juga memberitahu, Rang Undang-undang Mavcom (Pinda­an) akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang bagi membolehkan Mavcom me­ngenakan caj levi RM1 kepada semua penumpang yang berlepas dari Malaysia kecuali mereka yang terbang dengan perkhidmatan udara luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Rang undang-undang itu di­­bentangkan di Dewan Rak­yat ming­gu lalu membolehkan Mavcom mengenakan caj dan peraturan terhadap syarikat dan individu. Malah, di bawah rang undang-undang itu, Mavcom bo­leh menge­nakan penalti sehingga maksimum RM1 juta bagi individu yang gagal mematuhi garis panduan ditetapkan.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain