WAN KAMRUZAMAN WAN AHMAD
WAN KAMRUZAMAN WAN AHMAD

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, pihaknya akan menyemak semula strategi peruntukan aset mulai tahun hadapan.

Katanya, pelaburan KWAP di luar negara yang terbaharu termasuklah syarikat pengangkutan Amerika Syarikat (AS), Uber Technologies Inc. (Uber).

“Sekalipun pelaburan domestik meningkat, tetapi indeks saham utama berterusan menurun mulai 2014. Indeks tersebut meningkat enam peratus pada tahun ini tetapi masih merupakan satu daripada rantau yang mencatat prestasi buruk.

“Kebanyakan pelaburan domestik mencatat pulangan yang rendah berbanding pelaburan di luar negara walaupun penyusutan ringgit berlaku sejak tiga tahun lalu,” katanya dalam Sidang Kemuncak Prospek Pelaburan Global Reuters 2018.

Berdasarkan perkiraan Reuters, dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak AS$29.83 bilion (RM125 bilion), peningkatan tiga mata peratus itu bermakna KWAP akan menyuntik pelaburan sebanyak AS$900 juta (RM3.77 bilion) dalam urus niaga asing.

Pada 2013, dana pencen milik kerajaan itu menerima kelulusan daripada lembaga pengarah untuk meningkatkan pelaburan sehingga 19 peratus bagi aset-aset di luar negara.

Bagaimanapun, disebabkan pe­nyusutan ringgit sehingga 23 peratus pada 2015, kerajaan menggesa syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) supaya memulangkan semula modal dan mengehadkan pendedahan asing.

Menurut Wan Kamaruzaman, pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan pelaburan sebanyak tujuh peratus (sehingga 19 peratus) tetapi akan mempertimbangkan dahulu sama ada 15 pe­ratus adalah lebih realistik.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai sektor dan rantau yang akan menjadi fokus pelaburan KWAP.

Dalam Uber, KWAP melabur sebanyak AS$30 juta (RM125.8 juta) tahun lalu dan merupakan pelaburan asingnya yang pertama dalam syarikat berteraskan inovasi teknologi dan akan mempertimbangkan untuk menjalin lebih banyak urus niaga dalam bidang berkaitan teknologi.

Mengenai syarikat pengangkutan itu, jelas beliau, ia adalah pelaburan jangka panjang dan dana tersebut masih menunggu pelaburan yang berpotensi daripada konglomerat Jepun, SoftBank Group Corp. yang dilaporkan berminat untuk me­labur.

“Jika syarikat ini melabur, kita akan tahu sama ada pelaburan kami dalam bentuk tunai ataupun tidak,” katanya.

Buat masa ini, menurut beliau, KWAP masih di peringkat cadangan untuk terlibat dalam dana Alibaba Group Holding Ltd. (Alibaba), yang mana syarikat ini bercadang untuk perluaskan dana berkenaan.

Firma e-dagang China itu merancang untuk melabur dalam perniagaan serantau yang kecil di Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 3 November lalu.

Wan Kamaruzaman berkata, perbincangan mengenai perkara tersebut bagaimanapun masih di peringkat awal.

Beliau dalam masa sama turut mengulangi bahawa perbincangan untuk membeli kepentingan dalam AMMB Holdings Bhd (AmBank) daripada Australia and New Zealand Banking Group Ltd. yang memiliki 24 peratus pegangan dalam bank tersebut telahpun berakhir.

“KWAP sentiasa berperanan sebagai pelabur kewangan. Kami tidak mahu membeli mana-mana pegangan majoriti dalam mana-mana syarikat. Jika ada pegangan yang kecil (dalam AmBank) untuk dijual, kami mungkin akan pertimbangkan, tetapi bank tersebut memerlukan penggerak,” katanya.

Dilaporkan, dana tersebut juga dalam perbincangan untuk membeli pegangan dalam unit Great Eastern Life Assurance Company Ltd. dan Prudential PLC di Malaysia, memandangkan syarikat insurans itu mencari pemegang saham tempatan yang mampu memenuhi keperluan kawal selia pemilikan oleh Bank Negara Malaysia.

“Kami sudah menerima kelulusan daripada bank pusat untuk memulakan perbincangan dan ia telah pun bermula, cuma masih di peringkat awal,” katanya. – REUTERS