TALLIN ibu negara Estonia yang sesuai kepada pelancong yang mahukan percutian santai.

Ketika Pasport UtusanBiz mula merancang ke negara ini, ada pelbagai persoalan timbul dalam fikiran lebih-lebih lagi ke negara yang kurang menjadi tumpuan dalam kalangan rak­yat di Malaysia.

Namun Estonia sebenarnya merupakan sebahagian daripada Kesatuan Eropah (EU) dan tidak memerlukan visa sehingga 90 hari, sama seperti negara-negara EU yang lain.

Jika berada di Helsinki, Finland, anda boleh menaiki feri dengan tiket berharga kira-kita 45 Euro (lebih kurang RM216) bagi jarak perjalanan lebih kurang satu jam dengan kekerapan kira -kira setiap empat jam bergantung kepada syarikat operator.

Kebiasaannya feri pada waktu pagi dari Finland ke Estonia penuh kerana rata-rata rakyat negara terbabit akan membeli-belah barangan seperti minuman keras dan rokok dengan harga yang lebih murah.

Dengan kapasiti penduduk hampir dua juta orang, Estonia agak terkebelakang dalam sektor pelancongan berbanding negara Eropah lain disebabkan kurangnya publisiti dan mungkin memperoleh kemerdekaan agak lambat iaitu pada 1991 daripada Soviet Union.

Walau bagaimanapun, Estonia sebenarnya mempunyai kawasan tarikan sendiri. Sewaktu ke sini, Pasport UtusanBiz hanya berada di Tallin dan tidak berpeluang ke tempat lain seperti Tartu.

Apa yang menarik Tallin menjadi pilihan kepada rata-rata pelancong yang lebih sukakan percutian santai. Tiada aktiviti mencabar yang menguji ketahanan fizikal atau mental.

Sambil menghirup kopi dan menikmati bagel atau kek di waktu petang di kawasan ‘Old Town’, anda boleh melihat pelbagai ragam pelancong serta penduduk tempatan. Boleh dikatakan lebih separuh majoriti di bandar ini merupakan rakyat Finland atau Rusia.

Bagi sesiapa yang lebih suka kepada percutian santai, Tallin antara tempat terbaik dengan kosnya yang murah. Malah kos penginapan di hostel juga antara yang terendah jika rajin mencari di internet.

Selain itu, kedudukan Tallin yang berada dalam lingkungan lautan Baltic menjadikannya kawasan tumpuan pelancong yang belayar mengelilingi Ero­pah.

Jika anda berada di sini, antara tempat yang mungkin boleh dilawati termasuklah ‘Viru Square; Freedom Square atau beberapa muzium perang di bandar tersebut.

Pada sudut pandangan Pasport UtusanBiz, Tallin hanya sebuah bandar yang mungkin cukup sekadar dua atau tiga hari sahaja untuk bercuti. Ia bersifat ‘rata’ tanpa kawasan gunung-ganang atau kawasan semula jadi.

Walau bagaimanapun, bagi yang mahu melawat ke negara lain, ada beberapa pilihan sama ada menaiki bas atau kereta api. Mungkin anda boleh ke Latvia, atau Lithuania atau ke Rusia.

Satu perkara menarik ketika saya berada di sini adalah pertemuan dengan dua wanita rakyat Malaysia yang merupakan sahabat karib dan berusia dalam lingkungan antara 60 atau 70-an mengembara bersama-sama.

Menurut seorang daripada­nya, mereka hanya dapat berbuat demikian selepas bersara dan merancang berpuluh tahun lamanya. Malah, mereka sempat memberi pesanan kepada saya.

“Jangan percaya pada rancangan waktu bersara. Jika bernasib baik anda sempat menunaikannya atau hanya tinggal impian semata-mata. Nikmati peluang masa muda,” jelasnya.