Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Ab. Latiff Abu Bakar berkata, pencapaian berkenaan bakal dipacu oleh pelan perniagaan strategik selama lima tahun fasa kedua yang dilaksanakan sejak beliau mengambil alih jawatan tersebut pada tahun 2013 yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan berkualiti dan pengalaman pe­langgan.

Menurutnya, fasa pertama pe­lan perniagaan Takaful Ikhlas yang memberi fokus kepada memperkasa pengagihan saluran dan jenama syarikat tersebut telah membuahkan hasil apabila berjaya mencapai peningkatan pendapatan sebanyak 35 peratus antara tahun 2013 sehingga 2016.

Katanya, gabungan pengukuhan pengagihan saluran berserta perkhidmatan berkualiti dan ke­pentingan pelanggan bakal menjadi kunci utama yang memantapkan operasi Takaful Ikhlas.

“Kami akan menggunakan pelbagai saluran teknologi se­perti media sosial bagi mendekati pelanggan dan memastikan mereka sentiasa selesa mendapatkan per­khidmatan kami sekali gus menjadikan Takaful Ikhlas benar-benar memen­tingkan nilai takaful.

“Segala perancangan yang akan dilaksanakan ini diharap dapat meningkatkan lagi pe­nguasaan pasaran kami kepada 15 peratus dalam masa dua ke tiga tahun akan datang berban­ding hanya 11 peratus ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Takaful Ikhlas merupakan anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad yang mempunyai kehadiran kukuh dalam perkhidmatan perlindungan kewangan Islam berdasarkan sistem takaful de­ngan ketika ini mempunyai le­bih daripada 2 juta pelanggan yang terdiri daripada perseorangan dan syarikat.

Syarikat berkenaan menawarkan pelbagai rangkaian produk yang komprehensif termasuk produk keluarga perseorangan, keluarga berkumpulan, runcit umum dan takaful komersial menerusi lebih 6,000 ejen, broker, institusi kewangan, pemegang francais motor, badan koperasi dan badan Islam.

Dalam pada itu, Ab. Latiff ber­kata, Takaful Ikhlas juga me­rancang untuk meningkatkan jumlah ejen kepada 8,000 orang dengan kadar aktif sebanyak 60 peratus berbanding 6,000 dan kadar aktif hanya kira-kira 35 peratus ketika ini.

“Kami telah pun menaiktaraf sistem di peringkat ejen untuk memudahkan mereka menghantar borang permohonan pelanggan di mana sahaja mereka berada dengan hanya mempunyai capaian internet.

“Pada masa hadapan, kami juga sedang merancang beberapa program bagi memudahkan pengeluaran polisi supaya ejen Takaful Ikhlas dapat menjalankan aktiviti pengambilan secara aktif, mudah dan selesa,” katanya.