Di dalam pengurusan kewa­ngan, tidak dinafikan ia perlu dilakukan dengan teliti. Jika tersilap langkah, kita bakal berhadapan dengan risiko kerugian sama ada kecil mahupun besar. Jika kerugian itu merupakan satu jumlah yang besar, ia berpotensi untuk mempengaruhi emosi serta kehidupan seharian.

Emosi dan perasaan akan terganggu lebih-lebih lagi jika wang pelaburan tersebut diperoleh dengan bersusah-payah. Terdapat juga sebilangan yang menggunakan wang simpanan kecemasan atau pinjaman untuk melabur atau berdagang saham.

Apabila mereka tidak mendapat hasil seperti yang diharap­kan, mereka akan merasa kecewa. Walaupun ini mungkin merupakan kes yang terpencil, jika dibiarkan tanpa dibendung dari awal, ia akan merugikan dan semangat akan luntur. Juga, pelabur merasa patah hati untuk berurus niaga saham.

Di dalam kaji selidik yang telah dibuat, beberapa pelabur meluahkan rasa kekecewaan setelah mengalami kerugian.

Padahal jika dilihat semula pada carta pergerakan indeks FBM KLCI tahun 2017, pasaran saham mengalami satu kenaikan pada beberapa bulan pertama awal tahun 2017. Dan pada September, indeks pasaran FBM KLCI mengalami penurunan sehingga awal Disember 2017.

Indeks pasaran naik semula pada tiga hari terakhir penghujung Disember dan meneruskan aliran kenaikan sehingga kini yang mana indeks pasaran sekarang mencecah paras 1,830 mata. Justeru, boleh dikatakan pelabur dan pedagang saham tidak seharusnya mengalami kerugian sepanjang tempoh satu tahun ini.

Maka, kerugian yang dialami ini boleh dikatakan merupakan kesilapan yang dilakukan oleh pelabur dan pedagang itu sendiri. Maka, untuk membuka buku baharu, saya berikan langkah-langkah yang boleh diambil se­perti berikut:

* Dapatkan ilmu yang betul dan sesuai dengan matlamat pelaburan.

Dapatkan ilmu dahulu sebelum membuat beli dan jual saham. Jangan jadikan diri bahan ujikaji kerana belum mahir mengharungi rentak turun naik pasaran. Ambil masa untuk belajar dahulu dan perhatikan turun naik pasaran.

* Belajar asas pelaburan atau perdagangan saham secara menyeluruh.

Fahami satu demi satu setiap modul atau subjek sebelum belajar topik yang lain.

* Belajar sehingga mahir ses­­u­a­tu perkara tertentu dahulu.

Amalkan apa yang diajar. Ja­ngan belajar semua secara teori atau membuat paper trade sahaja kerana urus niaga di atas kertas tidak sama dengan urus niaga sebenar kerana urus niaga di atas kertas tidak melibatkan wang sebenar dan emosi.

* Jangan terpengaruh atau mengikut terus apa-apa sara­nan atau pendapat.

Jangan terpedaya atau me­ngikuti saranan yang diberikan bulat-bulat terutama yang ditulis oleh individu yang tidak dikenali atau tidak berkelayakan dan diiktiraf. Ambil masa untuk berfikir dan membuat kajian.

* Menyediakan modal pela­bu­ran yang sesuai.

Memperuntukkan modal yang bukan terlalu kecil mahupun terlalu besar sebagai permulaan. Jika terlalu kecil, agak sukar untuk memperoleh keuntungan jika harga saham naik dalam julat yang kecil. Dan jika terlalu besar, ditakuti pasaran tiba-tiba jatuh dan kita tiada lagi mo­dal baharu untuk membeli semasa harga jatuh.

* Membuat rekod untung rugi.

Membuat catatan untung rugi lebih-lebih lagi kerugian jika ada. Ini untuk memudahkan kita menyemak semula kerugian dan memudahkan untuk menutup kerugian lampau.

* Merujuk kepada pakar atau profesional.

Sentiasa rujuk kepada pakar atau individu yang bertauliah. Ini termasuk dealer, remisier, syarikat broker saham, penganalisis pasaran dan chartist.

* Mengambil tahu isu dan perkembangan semasa.

Rajin membaca maklumat dan berita semasa tentang hal-hal yang bersangkutan dengan pasaran saham.

* Membuat kajian sebelum membuat keputusan.

Perlu membuat kajian saham sebelum membeli atau menjual. Jangan tergopoh-gapah menekan kekunci beli tanpa membuat kajian terlebih dahulu.

* Pantau portfolio.

Jangan biarkan portfolio terlalu lama tanpa dipantau. Semak sama ada saham syarikat yang disimpan itu masih dalam keadaan untung dan harga tidak turun.

* Bertindak segera dengan sentimen atau isu semasa.

Perlu bertindak segera jika terdapat apa-apa maklumat atau berita yang boleh memberikan kesan kepada harga saham syarikat tersenarai.

* Kawal emosi dan perasan.

Perlu pandai kawal emosi. Untuk mengawal emosi, perlu ada penasihat.

Kepada yang ingin mempelajari pelaburan saham boleh mendaftar di https://tinyurl.com/investrade2018