Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), Datuk Yusli Mohamed Yusoff (gambar) berkata, berita negatif itu memberikan persepsi bahawa tadbir urus korporat di negara ini tidak baik terutama dalam kalangan syarikat tersenarai.

“Kita perlu memperbaiki persepsi ini secepat mungkin kerana secara umumnya, tadbir urus korporat dalam kalangan syarikat tersenarai dan institusi kewangan negara setanding, malah lebih baik berbanding negara lain di rantau ini,” katanya dalam sidang akhbar di majlis pelancaran program Pathway to A Governance Practitioner di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewa­ngan, Datuk Ir. Ami­ru­ddin Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Iclif Leadership and Gover­nance Centre, Rajeev Peshawaria serta Ketua Pegawai Eksekutif Trident Integrity Solutions Sdn Bhd., Mark Lovatt.

Mengulas lanjut Yusli berkata, melangkah ke hadapan, beliau berharap kerajaan baharu akan mengadakan lebih banyak usaha bagi meningkatkan piawaian dalam tadbir urus awam yang sedikit lemah berbanding sektor korporat.

“Tadbir urus awam ini adalah sangat penting kerana pelabur asing akan meneliti perkara ini sebagai tahap keyakinan kepada mereka sebelum benar-benar membuat keputusan yang tepat untuk membuat pelaburan di sesuatu negara tersebut.

“Kami juga mahu lebih perhatian dan usaha dalam kalangan korporat lain seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor awam yang kurang memberikan fokus terhadap aspek tadbir urus seperti syarikat tersenarai,” jelasnya.

Katanya, MICG sedia bekerjasama dengan kerajaan bagi memulihkan persepsi itu bermula dengan cadangan meletakkan pemimpin yang benar-benar layak dari segi merit sebagai ahli lembaga syarikat dan bukan daripada keluarga atau kenalan.

Sementara itu, Amiruddin berkata, kerajaan yang baharu dipilih itu akan mengambil langkah-langkah yang tegas bagi mengawal penyebaran aspek kerosakan integriti, tadbir urus dan keyakinan dengan lebih meluas dalam negara ini.

“Perang melawan rasuah dan tugas untuk mengembalikan tadbir urus yang baik adalah satu usaha nasional. Kerajaan dan organisasi sektor awam perlu bekerjasama dan bersatu untuk melawannya dan mencegah kebangkitan semula,” katanya.