Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, peruntukkan tersebut merupakan 20 peratus atau RM14.4 bilion daripada jumlah dana pendeposit TH yang bernilai RM70.7 bilion.

Beliau berkata, TH mempunyai baki pelaburan sebanyak RM4.2 bilion namun pihaknya tidak tergesa-gesa untuk membuat pelaburan, sebaliknya akan meneliti dan menilai mana-mana pelaburan yang bersesuaian.

“Kami tidak akan tergesa-gesa. Kami akan lihat mana-mana pelaburan yang bersesuaian dari segi risiko pulangan pelaburan dan akan membuat kajian secara teliti,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis memeterai perjanjian jual beli hartanah bernilai RM135 juta dengan Bangi Gateway Medical Sdn. Bhd. dan Medic IG Holdings Sdn. Bhd..

Yang turut hadir, Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengarah Bangi Gateway Medical, Datuk A. Rahman Safar; Pengerusi Medic IG Hol­dings, Mohd. Adam Mohd. Said dan Pengarah Urusan Medic IG Holdings, Shaharom Md. Shariff serta Pengerusi Bangi Gateway, Tan Sri (Dr.) Ir. Jamilus Md. Hussein.

Ia bagi pembelian bangunan Hospital Pakar An-Nur Hasanah (HPAN) di Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi, di kawasan seluas 0.924 hektar serta pajakan bangunan HPAN kepada Medic IG Hol­dings bagi tempoh 21 tahun.

Bangunan hospital tujuh tingkat itu boleh menempatkan 200 katil pesakit pada satu-satu masa dan turut dilengkapi tempat letak kenderaan mencukupi.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, inisiatif TH itu diharap dapat menyumbang pada pe­ningkatan dan kemajuan industri perkhidmatan perubatan negara.

Selain itu katanya, ia satu lagi inisiatif dalam memperkasakan Agenda Pembangunan Bumiputera TH dengan meningkatkan pembabitan golongan bumiputera Muslim di sektor kesihatan dan perubatan negara.

“Hospital ini juga turut mendukung inisiatif kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dengan melaksanakan industri pelanco­ngan kesihatan yang menjadi sumber pendapatan negara, termasuklah menyediakan end-to-end service kepada pelancong kesihatan ke Malaysia,” katanya.