FGV dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia memaklumkan, menerusi pembelian saham berke­naan ia menjadikan pega­ngan TH kini meningkat kepada 284.55 juta saham atau 7.8 peratus pegangan dalam FGV.

Ia juga menjadikan TH sebagai pemegang saham ketiga terbesar dalam FGV selepas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Felda Asset Holdings Company Sdn. Bhd.

TH sebelum ini memiliki 7.78 peratus pegangan atau 283.71 juta unit saham dalam syarikat tersebut.

Menurut sumber TH, pembe­lian tambahan saham tersebut merupakan satu perkara biasa yang dilakukan dalam mana-mana syarikat pengurus dana berdasarkan keadaan pasaran semasa.

“Ia juga merupakan sebahagian daripada langkah strategik TH,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Awal tahun ini, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, FGV kekal sebagai pelaburan strategik kepada TH dan menganggap syarikat itu penting kepada pelaburan jangka panjang kumpulan.

“Kita melihat FGV sebagai satu pelaburan jangka panjang kerana ia berasaskan kepada perniagaan dalam sektor perladangan.

“Memang pernah satu ketika sahamnya di­niagakan rendah sehingga RM1.40 tetapi kemudian­nya meningkat sekitar RM1.80 dan RM1.90 dan ini memberi keyakinan kepada kami bahawa prestasi FGV akan lebih baik,” katanya.

Bagi suku pertama 2017, FGV mencatatkan peningkatan peroleh­an 15 peratus daripada RM3.76 bilion kepada RM4.32 bilion disokong oleh pendapatan tinggi daripada sektor perlada­ngan, logistik dan lain-lain (LO) serta gula dengan masing-masing mencatatkan kenaikan 11, 57 dan 17 peratus.