Pengurus Besarnya, Tengku Zul­­karnaini Awalludin berkata, sasaran itu relevan bagi menampung permintaan yang meningkat bagi pasaran tempatan dan global sekali gus membantu syarikat meraih pendapatan kira-kira RM6.6 juta pada akhir tahun depan.

Katanya, kilang pemprosesan T-Kitchen yang dilengkapi dua teknologi terkini iaitu ketuhar mikro Combi dan mesin pembungkus automatik boleh menghasilkan sehingga 10,000 bungkus hidangan berkenaan berban­ding kaedah tradisional sebelum ini yang cuma mampu memasak lapan kilogram nasi dagang.

“Kita bukan sahaja dapat mengurangkan tempoh memasak daripada tiga jam kepada satu jam setengah bahkan mampu membungkus 12 peket nasi dagang dalam tempoh seminit bersamaan tiga kali ganda lebih pantas daripada cara manual.

“Kejayaan pembinaan kilang ini turut disusuli dengan Sijil Pengesahan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kilang T-Kitchen yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman semalam.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib dan Pengarah T-Kitchen, Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

Nasi dagang yang mengekalkan ciri-ciri keaslian itu dibangunkan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) serta Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan dijual pada harga RM8 sebungkus.

Selain nasi dagang, T-Kitchen turut mengeluarkan keropok lekor sejuk beku dengan jenama T'Lekor.

Menurut Tengku Zulkarnaini, produk makanan tradisional tempatan itu bakal menembusi pasaran lebih meluas di Malaysia melalui penjualan di rangkaian pasar raya terkemuka mulai Janua­ri depan di samping dijadikan hidangan dalam penerbangan dan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Sementara itu, Ahmad Razif yakin perkembangan itu dapat membuka jalan kepada perkongsian keenakan makanan sejuk beku keluaran T-Kitchen ke serata dunia.