Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, kemahiran Syed Zaid merentasi pelbagai sektor seperti undang-undang korporat, pasaran modal, sukuk, perbankan Islam dan konvensional.

“Berpengalaman lebih 38 tahun di dalam bidang perundangan, beliau pernah menjadi anggota Panel Inkuiri Dana Pampasan dan anggota Jawatankuasa Rayuan di Bursa Malaysia Berhad.

“Syed Zaid juga pernah menjadi anggota Jawatankuasa Kajian Undang-undang Kewangan Islam di Bank Negara Malaysia (BNM),” jelas kenyataan tersebut di sini hari ini.

Syed Zaid adalah lulusan ijazah undang-undang dari universiti di United Kingdom dan menjadi peguam di Lincoln’s Inn, London pada 1979.

Setahun kemudian, beliau menjadi Peguam di Mahkamah Tinggi Malaya.

Selain itu, Syed Zaid pernah berkhidmat di Skrine & Co dan telah menubuhkan syarikat perundangan sendiri - Albar & Partners.

Dalam pada itu, SC dalam kenyataan turut mengumumkan persaraan Tan Sri Ranjit Ajit Singh sebagai Pengerusi berkuat kuasa juga pada 15 Oktober ini.

Menurut SC, Ranjit telah berkhid­mat dengan badan itu selama 25 tahun dan memegang jawatan pengerusi sejak enam tahun lepas.

“Seluruh warga SC dan Lembaga Pesuruhjaya mengucapkan terima kasih kepada Ranjit atas sumbangan beliau kepada pembangunan pasaran modal Malaysia serta kepimpinannya dalam SC,” kata kenyataan itu.