Presiden AESIEAP, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, pemain industri perlu mengadaptasikan teknologi khusus yang mampu memenuhi keperluan dan permintaan berbeza pelanggan mereka.

Beliau yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB) berkata, saranan tersebut adalah kerana tiada teknologi tunggal mampu untuk menyelesaikan semua masalah.

“Kita perlu menjadi lebih teknologi agnostik. Kita seharusnya memikirkan apa yang akan memberi manfaat kepada para pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam perbincangan panel antara pemimpin, pakar dan industri tenaga masa hadapan pada Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif AESIEAP di Pulau Pinang, semalam.

Azman berkata, sebelum memilih sebarang teknologi, syarikat utiliti perlu mengkaji semu­la sebab di sebalik kewujudan mereka untuk memberi nilai terbaik kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.

“Syarikat utiliti juga perlu mencerminkan semula bagaimana relevannya mereka dalam memenuhi keperluan dan harapan para pelanggan,” katanya.

Tambah beliau, bagi TNB, sebagai syarikat utiliti nasional, tanggungjawabnya bukan hanya untuk menyalakan lampu, tetapi juga memberikan pulangan yang kompetitif kepada pemegang saham.

Selain itu katanya, ahli AESIEAP juga harus bekerjasama memanfaatkan potensi pertumbuhan sektor kuasa di Asia bukan hanya dari segi bakat atau pe­ngetahuan, tetapi juga inovasi.