The Straits Times Singapura yang melaporkan senarai 50 syarikat paling pantas berkembang (FG50) mengenal pasti sebanyak 50 syarikat berdaftar di Singapura dengan kadar pertumbuhan tahunan dikumpul (CAGR) tertinggi bagi tempoh tiga tahun.

Pengurus Besar, Perkhidmatan Kredit & Strategi Asia Tenggara Experian, James Gothard berkata, fokus utama terhadap inovasi, kepelbagaian dan peng­antarabangsaan adalah pembeza utama dalam senarai tahun ini.

Selain prestasi kewangan, kadar pertumbuhan yang konsisten dan luar biasa daripada syarikat-syarikat yang lebih lama beroperasi turut diberi perhatian.

Syarikat tersenarai tahun ini telah melabur dalam inovasi untuk memacu pertumbuhan jangka panjang termasuk J&S Telecoms International, perkhid­matan teknologi dan pembekal penyelesaian berusia 15 tahun.

“Syarikat itu melancarkan syarikat pengedaran untuk menjual dan mengedar bara­ngan pengguna di Singapura yang memperluaskan segmen telekomunikasi.

“J&S Telecoms International juga sedang berunding dengan rakan-rakan strategik global untuk membangunkan perisian telekomunikasi dan produk baharu,” katanya di sini hari ini.

DP Info telah mengumpul senarai FG50 setiap tahun sejak 2002, dan menganalisis keputusan kewangan lebih 70,000 syarikat untuk mengiktiraf 50 syarikat paling dinamik dan pesat berkembang di Singapura.

Tahun ini menyaksikan pe­ningkatan dalam bilangan syarikat Gred Pelaburan (DP1-4), dengan 33 daripada 50 (atau 66 peratus) disenaraikan sebagai Gred Pelaburan berbanding 48 peratus pada 2017 dan 56 peratus pada 2016.

Bilangan syarikat yang mencapai penarafan kredit DP1 tertinggi tahun ini juga telah me­ningkat dua kali ganda kepada 15 firma daripada tujuh pada 2017.

Penarafan kredit DP tinggi merupakan petunjuk risiko yang lebih rendah dalam masa sama mempamerkan nilai kewangan dan kredit syarikat. – AGENSI