Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dicadangkan membentuk mekanisme bagi memantau perkembangan penggunaan bahan binaan buatan Malaysia.

Katanya, produk tempatan sememangnya sudah dikenali di pasaran eksport dan tidak ada sebab yang menghalang pe­ningkatan peratusan penggunaan produk tempatan dalam pembinaan.

“Produk tempatan sememang­nya berkualiti dan ditawarkan pada harga berpatutan, mungkin ada beberapa produk yang tidak boleh didapati di Malaysia, tetapi bagi produk yang ada, syarikat-syarikat pembinaan disaran memberi sokongan padu.

“Pemain industri memainkan peranan untuk mena­ngani persepsi negatif terhadap produk dan perkhidmatan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Rangkaian Bekalan Bahan Binaan Khusus 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud.

Terdahulu, Mustapa menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara pemaju Forest City, Country Garden Pacific View Sdn. Bhd. dengan tiga syarikat iaitu Kumpulan Pendidikan YPJ Sdn. Bhd., Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lafarge Cement Sdn. Bhd.

Aktiviti pembangunan dan pembinaan projek Forest City melibatkan nilai perniagaan sebanyak RM1.2 bilion bagi 32 kontraktor tempatan dan lebih 100 pembekal dalam fasa awal yang meliputi dua tahun menerusi program sumber tempatan.

Dalam pada itu, persidangan anjuran MIDA dan CIDB bertujuan membuka peluang kepada syarikat tempatan menyertai projek pembangunan mega di negara ini.

Projek mega itu termasuklah Forest City, Melaka Gateway, Projek Kereta Api Laju (HSR), projek kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Lapangan Terbang Mukah dan Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) bernilai RM380.1 bilion yang dibentangkan dalam persidangan itu.