Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif OPCOM Holdings Berhad, Tan
MOKHZANI MAHATHIR

TM dalam kenyataannya berkata, pihaknya mempunyai proses perolehan yang ketat serta telus dan berpegang kepada kod tingkah laku terbaik dari sudut tadbir urus korporat dan integriti.

Jelas syarikat itu, tender terbuka bagi kontrak Rakan Unifi bermula pada Januari lalu dan proses penilaian ber­akhir pada April.

“Barisan Lembaga Pengarah TM te­lah meluluskan pemberian kontrak sema­sa mesyuarat yang diadakan pada 24 April. Sebanyak 19 kontraktor dengan 13 dari Semenanjung termasuk Opcom Cables Sdn. Bhd.. dan tiga kontraktor masing-masing dari Sabah dan Sarawak telah diberikan kontrak berkenaan.

“Surat Tawaran (LOA) dikeluarkan pada 14 Mei dan kontrak ber­kenaan bermula 2 Julai bagi tempoh satu setengah tahun,” katanya dalam kenyataan lewat petang ini.

Kenyataan TM tersebut bagi menjelaskan penganugerahan kontrak bernilai RM11.157 juta kepada Opcom Holdings Bhd. yang diterajui oleh anak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu Tan Sri Mokhzani Mahathir sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu.

Sebelum itu Ketua penyelidik sebuah firma penyelidikan yang enggan dikenali berkata, Kontrak ‘Rakan UniFi’ telah dianugerahkan pada 14 Mei lalu iaitu lima hari selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang terbentuknya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Malah katanya, Opcom tidak memenangi sebarang kontrak daripada Telekom Malaysia (TM) sejak 2016 atau lebih tepat setelah Dr. Mahathir mengumumkan keluar daripada UMNO dan menu­buhkan parti baharu yang turut memenangi PRU tersebut.

“Sebelum ini syarikat Opcom pernah memenangi kontrak sebanyak RM20.3 juta pada 2014 dan RM68 juta pada 2015 daripada TM.

“Dalam hal ini, ketelusan yang lebih tinggi diperlukan dalam kalangan syarikat milik kerajaan (GLC) seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PH sebelum ini menerusi mani­festonya berjanji akan memastikan pelantikan ahli lembaga pe­ngarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah daripada kala­ngan golongan profesional dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.

Malah PH turut menekankan kepada penganugerahan projek secara tender terbuka dan telus tanpa membabitkan amalan politik atau kroni.

Sementara itu, Pengerusi Ins­titut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam menegaskan perlunya tender terbuka, ketelusan dan integriti dalam mana-mana penganugerahan tender mahupun kontrak de­ngan penubuhan Malaysia baharu.