Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Syarikat China labur 
RM8.1b di Bandar Malaysia

LAKARAN grafik projek Bandar Malaysia. 3
LAKARAN grafik projek Bandar Malaysia.

KUALA LUMPUR 21 Mac - China Railway Group Ltd. (CREC) akan melabur sebanyak AS$2 bilion (RM8.12 bilion) untuk membina pusat serantaunya di Bandar Malaysia di sini.

Presidennya, Zhang Zongyan berkata, syarikat milik negara China itu yang merupakan syarikat Global Fortune 500 dan berada disenarai ke-71 pada 2015, akan mengukuhkan semua perniagaan serantau dan operasinya ketika ini sebaik sahaja ibu pejabat baharunya di Bandar Malaysia siap.

Beliau berkata, CREC akan membina kompleks pejabat bersepadu di Bandar Malaysia yang bakal menjadi hab serantau bagi syarikat multinasional (MNC) dari seluruh dunia.

“Kami akan menjadi yang pertama dalam kalangan syarikat multinasional untuk membuka pusat serantau atau memindahkan ibu pejabat di Malaysia dan kami akan mempamerkan ini menerusi kompleks pejabat bersepadu baharu yang kami bina,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis pengumuman pembinaan pejabat serantau CREC itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Duta Besar China ke Malaysia, Dr. Huang Huikang; Pengurus Besar China Railway Engineering Corporation Sdn. Bhd., Cai Ze Min dan Naib Pengerusi Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings (IWH), Tan Sri Lim Kang Hoo.

CREC adalah syarikat milik kerajaan (GLC) China dan yang terbesar dalam sektor kejuruteraan dan pembinaan dunia. Aktivitinya merangkumi industri pengeluaran, hartanah dan produk-produk galian. Sehingga 2015, CREC berada di kedudukan ke-71 dalam senarai syarikat Global Fortune 500 dengan perolehan tahunan lebih AS$100 bilion (RM405 bilion).

Sementara itu, Kang Hoo berkata, kehadiran syarikat China itu akan menaikkan lagi imej negara serta Bandar Malaysia bagi menarik pelbagai MNC untuk menjadikan negara ini sebagai pusat operasi serantau.

Beliau berkata, pembinaan pejabat korporat CREC itu dijangka bermula tahun depan dan ia merupakan fasa terawal daripada tiga peringkat keseluruhan projek Bandar Malaysia yang dijangka mengumpul nilai pembangunan kasar sebanyak RM160 bilion dalam tempoh 20 tahun.

“Diharapkan lebih banyak MNC memindahkan pejabat serantau mereka ke sini. Bandar Malaysia tidak menetapkan hanya industri tertentu yang boleh berpusat di sini dan ia terbuka. Dengan kehadiran pelbagai MNC, ia juga boleh mengurangkan pengeluaran bakat-bakat tempatan ke negara asing,” katanya.

Bandar Malaysia terletak di Sungai Besi, Kuala Lumpur yang ketika ini merupakan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Pembangunan hartanah itu dijangka turut membabitkan pembinaan bandar bawah tanah terbesar dunia dengan keluasan 194 hektar.

Jelas Kang Hoo, selain menjadi stesen terakhir kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura di bahagian Malaysia, projek Bandar Malaysia itu boleh menjadi satu daripada hentian jaringan Keretapi Pan-Asia antara Singapura-Kunming, China.

Pembangunan Bandar Malaysia merupakan projek Kerjasama Awam-Swasta (PPP) antara Kementerian Kewangan yang mempunyai kepentingan 40 peratus, dan Konsortium IWH-CREC 60 peratus. IWH dimiliki oleh Kerajaan Negeri Johor dengan kepentingan 40 peratus sementara 60 peratus lagi dipunyai oleh Kang Hoo menerusi syarikat Credence Resources Sdn. Bhd. (CRSB)

Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Johor secara efektif memiliki 54.4 peratus kepentingan di dalam Bandar Malaysia, syarikat China hanya 24 peratus dan CRSB 21.6 peratus.

Tambah Kang Hoo, walaupun pembangunan Bandar Malaysia bertujuan untuk menarik pelabur-pelabur asing, namun syarikat-syarikat tempatan juga akan diutamakan khususnya bagi terlibat sama dalam pembangunan hartanah tersebut.

Dalam pada itu, Zemin berkata, pihaknya juga berminat untuk membida projek HSR Kuala Lumpur-Singapura jika kontrak pembinaannya dibuka.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain