S.Saravana Kumar
S. SARAVANA  KUMAR

Peguam Percukaian yang juga Rakan Kongsi Lee Hishamuddin Allen & Gledhill (LHAG), S.Saravana Kumar berkata, jika didapati wujud pengkayaan tidak patut (unjust enrichment) dalam isu berkenaan, syarikat-syarikat terbabit dinasihatkan supaya melantik peguam bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil untuk mendapatkan semula wang berkenaan.

Katanya, ini kerana bayaran balik GST adalah wang yang sepatutnya dikembalikan semu­la kepada syarikat terbabit dan tiada sesiapa berhak membantah tindakan berkenaan.

“Sudah tentu syarikat ada hak untuk tuntut balik dan mereka perlu kemukakan kepada agensi berkaitan (Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri) dengan menyatakan kebimbangan mereka dan jika agensi itu tidak dapat mengembalikannya dalam tempoh waktu yang munasabah, saya pasti rakyat memahami kekangan kewangan kerajaan ketika ini.

“Tetapi paling penting sebenarnya ialah apa yang peniaga mahu tahu adalah kepastian tentang apa yang berlaku dan apa jadi dengan duit mereka. Dalam hal ini, ia mungkin boleh dibayar secara ansuran.

“Namun, jika tiada respon langsung daripada agensi-agensi berkenaan dan wang yang berhak dituntut itu hingga mewujudkan unjust enrichment, kami nasihatkan mereka mendapatkan nasihat dan saluran guaman supaya tindakan boleh diambil,” katanya selepas Seminar Cukai GST dan Kastam anjuran LHAG di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Semalam, Guan Eng mendedahkan akaun amanah yang mana kerajaan memasukkan wang bayaran balik GST me­ngalami kekurangan sebanyak RM18 bilion dan wang tersebut didakwa hilang semasa pentadbiran Barisan Nasional yang sepatutnya dikembalikan kepada peniaga dua minggu selepas mereka memfailkan tuntutan.

Setakat 31 Mei 2018, jumlah tertunggak sejak 2015 ialah sebanyak RM19.4 bilion dan daripada jumlah itu, sejumlah RM9.2 bilion adalah dari 2018, RM6.8 bilion (2017), RM2.8 bilion (2016) dan baki RM600 juta (2015). Baki yang tinggal dalam akaun hanya RM1.486 bilion.

Bagaimanapun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, RM18 bi­lion kutipan itu tidak hilang semata-mata sebaliknya mungkin digunakan untuk tujuan pembangunan.

Menurut Saravana, kehilangan wang tersebut menunjukkan seseorang tidak melaksanakan tugas mereka dan harus bertanggungjawab sekiranya wujud pelanggaran ama­nah termasuk elemen jenayah, maka undang-undang harus dilaksana­kan terhadap mereka supaya boleh dihadapkan ke muka pengadilan.

“Jika perkara ini berlaku, ia satu yang amat mengejutkan kenapa ia boleh hilang. Untuk itu, dalam masa sama, perlu­nya ada soal siasat untuk mengetahui ke mana duit itu pergi. Malah, saya juga melihat ada keperluan untuk jalankan audit terhadap bekas-bekas menteri,” katanya.