Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn. Bhd., Datuk Jeffrey Ng berkata, sasaran itu ditetapkan semasa kajian strategik lembaga baru-baru ini.

“Dalam persekitaran pasaran hartanah yang mencabar hari ini, strategi pengambilalihan aktif adalah cara untuk memacu pertumbuhan ke hadapan.

“Sebagai Pengurus REIT yang proaktif, kami akan terus meneroka pemacu pertumbuhan bukan konvensional seperti meneroka pemba­ngunan baharu dan peluang pembangunan semula,” katanya.

Sunway REIT mempunyai gabungan nilai hartanah RM7.3 bilion setakat 30 September. Semalam, ia mengumumkan penurunan keuntungan bersih tahun ke tahun sebanyak 7.8 peratus kepada RM73.01 juta bagi suku pertama yang berakhir pada 30 September 2018. Bagaimanapun pendapatannya meningkat kepada RM143.74 juta berbanding RM141.17 juta setahun sebe­lumnya.

Sunway REIT Ma­­nagement me­ngaitkan pendapatan yang lebih tinggi itu kepada sumbangan yang lebih baik daripada semua segmen, tetapi ini sebahagiannya diimbangi oleh segmen perhotelan.

Ng berkata, walaupun pendapatan yang lebih tinggi, pendapatan hartanah bersih jatuh sedikit sebanyak 0.4 peratus tahun ke tahun kepada RM110.5 juta disebabkan perbelanjaan operasi hartanah yang lebih tinggi.

Di samping itu, ia berkata, perbelanjaan lain meningkat sebanyak 19 peratus tahun ke tahun disebabkan kos kewangan yang lebih tinggi berikutan pe­ningkatan pinjaman pokok yang diambil untuk membiayai aktiviti pelaburan dan kos purata hutang yang tinggi sedikit berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya.

“Mengambil petunjuk daripada prestasi kewangan dalam suku pertama di samping kos kewangan yang lebih tinggi, kami mengekalkan prospek berhati-hati bagi tahun kewa­ngan ini memandangkan ketidak­tentuan pasaran umum,” kata Ng. – BERNAMA