Pengarah Urusan Bahagian Hartanah Sunway bagi Malaysia dan Singapura, Sarena Cheah berkata, TOD adalah pemba­ngunan urban memaksimumkan ruang kediaman, perniagaan dan rekreasi dalam jarak berjalan kaki dari pengangkutan awam.

Katanya, kumpulan itu telah memperoleh lima tanah di Lembah Klang bernilai RM5.5 bilion termasuk di Kajang dan Wangsa Maju sejak Januari lalu.

“Kami mahu mempelbagaikan lokasi projek pembangunan yang mudah diakses dengan jalan raya dan infrastruktur awam seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

“Sehubungan itu, kami sedang mencari lebih banyak tanah untuk pembangunan TOD, lebih-lebih lagi apabila projek MRT dan LRT selesai, ia akan menambah nilai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Sunway melancarkan Sunway Velocity Hotel bernilai RM140 juta yang merupakan satu-satunya hotel ber­orientasikan transit, selain hotel terbesar dan bersepadu di Cheras dekat sini.

Majlis itu turut dihadiri Pe­ngarah Operasi Sunway Hotels & Resorts, Kelly Leong; Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Hotels & Resorts, Albert Cheong; Pengarah Fawanis Sdn. Bhd., Ahmad Zul-Qarnain dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT, Datuk Jeffrey Ng.

Sunway Velocity Hotel yang merupakan projek usaha sama di antara Sunwaydan Fawanis di kawasan TOD mula beroperasi pada 20 September ini.

Menurut Sarena, pihaknya me­nyasarkan kadar penginapan mencecah 75 peratus pada tahun pertama hotel berkenaan berope­rasi didorong lokasi yang strategik, saiz pasaran dan harga kompetitif.

“Pada tahun ini dan 2018, kami menjangkakan tetamu hotel ini terdiri dalam kalangan warga tempatan sebanyak 60 peratus serta baki meliputi pelancong dari Singapura, China dan rantau Asia Pasifik,” katanya.