Pengarah Urusan SunCon, Chung Soo Kiong berkata, pihaknya mula melaksanakan 5S iaitu Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Praktik sejak 2008.

Menurut beliau, SunCon berharap dapat meningkatkan lagi keberkesanan alam sekitar dalam amalan perniagaannya.

“Kami juga akan menekankan pendekatan kemapanan dalam organisasi dan bekerjasama dengan MPC untuk membantu membangunkan manual dan kriteria penilaian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming, Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd. Razali Hussain dan Pe­ngarah SunCon, Datuk Dr. Ir. Johari Basri.

Terdahulu, MoU ditandata­ngani oleh Mohd. Razali yang mewakili MPC dan Johari mewakili SunCon dengan disaksikan oleh Kian Ming serta Soo Kiong.

Sementara itu, Mohd. Razali berkata, SunCon merupakan pemaju terkemuka dalam industri pembinaan dan telah mengamalkan pendekatan 5S dalam operasinya.

“Kerjasama ini bermatlamat untuk menetapkan standard baharu bagi industri pembinaan di Malaysia. Kami berharap peni­lai­an ini akan meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam industri secara keseluruhannya serta mewujudkan sistematik, keselamatan dan tempat kerja yang sihat,” katanya.

Manual 5S dan Kriteria Penilaian akan menggariskan panduan pendekatan 5S untuk dilaksanakan di tempat kerja dan mewujudkan set kriteria yang perlu dipatuhi oleh organi­sasi seluruh negara bagi pensijilan Persekitaran Berkualiti/5S (QE/5S).

Ini merupakan kali pertama pensijilan QE/5S dilaksana untuk industri pembinaan kerana sebelum ini pensijilan QE/5S hanya terpakai untuk industri pembuatan.