Menurut 7-Eleven Malaysia, pembelian saham terbaharu itu menandakan Sultan Ibrahim kini memiliki sebanyak 172.37 juta saham dengan baginda terus kekal menjadi pemegang saham individu kedua terbesar syarikat kedai serbaneka tersebut.

Dalam pada itu, pemegang saham terbesar 7-Eleven Malaysia, Tan Sri Vincent Tan berkata, beliau begitu gembira kerana Sultan Ibrahim telah meningkatkan kepentingannya di dalam 7-Ele­ven Malaysia.

“Pembelian saham terbaru oleh Sultan Ibrahim membuktikan keyakinan yang ditunjukkan baginda terhadap keupayaan, prestasi dan potensi perniagaan 7-Eleven Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

7-Eleven Malaysia mencatatkan perolehan berjumlah RM1.64 bilion dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM43.94 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2017.

Pada Ogos lalu, Sultan Ibrahim menjadi pemegang saham kedua terbesar 7-Eleven Malaysia selepas memiliki 93.70 juta saham atau 8.44 peratus.

Pengerusi 7-Eleven Malaysia, Tan Sri Abdull Hamid ketika itu berkata, sehubungan itu 7-Eleven Malaysia mengalu-alukan Sultan Ibrahim sebagai satu daripada pemegang saham utama syarikat

Jelas beliau, peningkatan pe­gangan saham itu seiring dengan pelan 7-Eleven Malaysia untuk memperluaskan perniagaan runcit dan meningkatkan pegangan pasaran serta mengekalkan keuntungan.

HABIS