Berjaya Assets Group adalah pemilik utama Berjaya Times Square, satu daripada pusat runcit dan perdagangan terbesar Malaysia yang menempatkan Berjaya Times Square Theme Park, taman tema tertutup terbesar di negara ini.

Pemegang saham terbesar Berjaya Assets, Tan Sri Vincent Tan berkata, di Johor Bahru, kumpulan itu memiliki Hotel Berjaya Waterfront, kompleks beli-belah dan terminal feri, serta unit pejabat di Menara MSC Cyberport.

“Saya sangat gembira apabila Sultan Ibrahim meningkatkan kepentingan baginda di Berjaya Assets. Ini menunjukkan prospek positif baginda untuk masa depan jangka panjang Berjaya Assets.

“Kedudukan baginda sebagai pemegang saham utama kedua terbesar pasti akan memberi manfaat kepada Berjaya Assets dalam pengembangan perniagaannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Melalui anak syarikat 100 peratus, Berjaya Assets Food Sdn Bhd (BAF), Berjaya Assets telah memperoleh perjanjian lesen dengan Greyhound Cafe Co. Ltd. untuk hak eksklusif bagi menubuh dan mengendalikan kafe di bawah tanda dagangan ‘Greyhound Cafe’ di Malaysia.

Restoran Greyhound Cafe yang pertama terletak di ANSA Kuala Lumpur dan restoran kedua baru-baru ini dibuka di Mid Valley Megamall dekat sini.

Berjaya Assets mencatatkan hasil belum diaudit sebanyak RM356.36 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2017. - UTUSAN ONLINE