Dari segi karier profesional, nampaknya masih berada di takuk yang sama sejak tahun 2002 lagi, sampailah sekarang. Masih sama sahaja, tidak ke hadapan dan tidak juga ke belakang. Tepu - itu keadaan anda sekarang.

Di luar sana pula amat berbeza dengan anda. Sudah terlalu ramai para ‘pesaing’ anda yang berada dalam industri yang sama, kini sudah dijemput untuk bercakap di seminar. Mereka sudah dikenali sebagai thought-leader oleh para pengamal industri, ada pula yang kini mengajar orang lain melalui bengkel-bengkel anjuran sendiri. Ada pula yang sudahpun bergelar ketua pegawai eksekutif di syarikat sendiri. Kesemua mereka ini kini lebih jauh daripada anda dari aspek status profesional dan kewa­ngan. Walaupun mempunyai kebolehan yang hanya 10 peratus sahaja daripada apa yang anda ada, dan lebih muda, namun mereka nampaknya lebih bergerak pantas ke hadapan berbanding anda.

Cukup-cukuplah dengan tabiat ‘tidak mengapa’ dan ketepikan sifat ‘tidak tahu’ itu jauh-jauh. Hari ini saya ingin mengajar anda bagaimana untuk membuat penjenamaan semula diri anda itu agar kelihatan baharu dan segar.

1. Produk

Apa juga strategi penjenamaan yang ada di dunia ini, ia tidak akan menjadi tanpa produk yang baik dan berkualiti. Di sini, produknya ialah anda. Anda memerlukan imej baharu untuk diri sendiri. Mungkin gaya rambut itu sudah tidak sesuai lagi, perlu ditukar. Pemakaian anda juga macam sudah berusia 70 tahun walaupun baharu sahaja mencecah 39 tahun hujung tahun ini. Nampak­nya macam banyak pula benda yang perlu digubal semula tentang imej anda. Mungkin anda perlu khid­mat juruperunding imej agar pemilihan warna, jenis kain dan pelbagai elemen penampilan anda dapat dilakukan dengan baik.

2. Menulis

Ramai yang tidak faham betapa pentingnya kebolehan menulis. Anda boleh menulis tetapi sengaja dibiarkan kepakaran itu berkarat, tidak digunakan pada tahap yang sepatutnya. Kepakaran anda tentang hal-hal yang berkaitan sumber manusia dan modal insan sangat tinggi. Sebut sahaja tentang apa, semua anda tahu. Anda bukan sahaja berpengalaman dalam bidang ini, tetapi juga minat anda yang mendalam tentang sumber manusia dan modal insan, kerajinan anda membaca dan juga membuat kajian menjadikan anda seorang yang berpengetahuan tinggi. Janganlah dibiarkan ia terkubur di dalam diri anda. Keluarkan ia melalui penulisan, bantu anak-anak, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling melalui pendapat anda, idea, cerita-cerita kejayaan dan kesusahan, pedoman, bagaimana untuk melakukan sesuatu atau how-to. Menulis amat bagus untuk dijumpai di internet.

3. Beli domain nama sendiri

Bina satu laman blog yang mudah, atas nama sendiri. Sediakan semua bahan penulisan anda dan muat naik kesemuanya di laman ini. Gambar-gambar anda yang lama-lama semua tidak boleh dipakai lagi, tukar dengan gambar-gambar baharu dengan penampilan yang lebih segar kali ini.

4. Satu artikel panjang, dan 7 petua ringkas

Dalam seminggu, ada tujuh hari. Untuk menulis, anda perlukan disiplin yang tinggi. Artikel yang panjang perlu ditulis hanya sekali sahaja dalam se­minggu. Jumlah perkataan pula seelok-eloknya lebih kurang 600-800 patah perkataan. Ja­ngan tulis mengenai benda-benda lain, tetapi hanya dua: sumber manusia dan modal insan. Itu sahaja. Apabila siap, muat turun ke dalam laman blog anda tadi. Jangan lupa paparkan setiap petua ringkas itu semua di rangkaian media sosial kegemaran anda setiap hari. Dengan cara ini, anda akan kelihatan aktif di alam maya melalui status terkini yang dimuat turun setiap hari manakala artikel yang panjang tadi harus juga dikongsikan ke rangkaian media sosial bagi menarik trafik ke laman blog anda.

5. Aktiviti media sosial yang lebih kerap

Tidak perlu mengadap tele­fon pintar anda setiap saat, cukup hanya sejam sehari atau kurang sekiranya tidak mempunyai masa. Muat turun status dan berinteraksi dengan komuniti luar juga penting dalam menaikkan jumlah pengikut di media sosial.

6. Sesi networking profesional

Janganlah hanya terperuk di hadapan komputer sahaja. Keluar dan bergaul dengan orang lain secara fizikal. Ini membantu mempercepatkan proses mereka mengenali diri anda. Belanja mereka kopi secawan. Jangan kedekut sangat.