Namun, lebih ramai yang ter­-
sungkur separuh jalan dan terus lenyap terkubur. Usahawan-usahawan baharu (tiga tahun perniagaan) sering didedahkan dengan langkah-langkah untuk berjaya dalam perniagaan dan faktor-faktor sesuatu kejayaan. Faktor kejatuhan dan langkah bangkit dari tersungkur sering terlepas pandang. ‘Sudah terhantuk baru tengadah.’ Pepatah itu masih segar di bibir masyarakat sekarang. Ya, jatuh bangun dan untung rugi adalah adat resam dalam perniagaan.

* Pemasaran berterusan.

Kesalahan dan kesilapan usahawan yang menjalankan pemasaran atau pengiklanan secara ‘suam-suam kuku’. Pemasaran dan pengiklanan adalah nadi dalam perniagaan iaitu satu proses memperkenalkan produk atau servis kepada bakal pelanggan. Cuba lihat konsis­tensi atau ketekalan syarikat-syarikat besar seperti KFC, McDonald’s, SlimmeWhite dan Nestle. Walaupun produk dan servis mereka dikenali di serata dunia, mereka masih menjalankan pemasaran berterusan sehingga ke hari ini. Pelbagaikan cara pemasaran kerana kebanyakan usahawan baharu hanya fokus pada satu cara dalam pe­masaran mereka. Mereka terlalu ‘asyik’ dengan kejayaan pemasaran semasa mereka sehingga terlupa bahawa pemasaran mempunyai tarikh luput yang tidak bercetak. Pemasaran mempunyai trend dan tempoh masa tertentu untuk tepu. Jadi, sebagai usahawan yang kreatif dan inovatif perlu membuat persediaan dan strategi baharu dan pelbagaikan teknik pemasaran.

* Perompak tegar.

Pengurusan kewangan sangat mustahak bagi perniagaan sama ada lama atau baharu. Ramai usahawan baharu ‘tewas’ dalam aspek ini. Mereka menganggap duit perniagaan adalah duit mereka. Salah sama sekali! Aktiviti mengguna atau ‘merompak’ duit perniagaan untuk kepentingan individu berlaku dan memberi kesan besar apabila membayar komitmen dalam perniagaan dan membuat pusingan modal.

Perkara ini biasa berlaku apabila sesuatu perniagaan berada di puncak. Mempunyai wang simpanan yang tinggi ditambah pula dengan ‘darah panas’ anak muda, kemahuan bertukar menjadi keperluan.

Tidak perlu belajar tinggi untuk disiplin mengurus kewangan perniagaan. Pastikan rekod duit keluar masuk setiap hari dan analisis kewangan setiap bulan.

Selain itu, sediakan akaun persendirian dan akaun perniagaan secara berasingan. Asingkan duit persendirian dan perniagaan. Paling pen­ting adalah tetapkan gaji sendiri setiap bulan berdasarkan keuntungan bersih perniagaan. Dengan cara ini dapat me­ningkat simpanan perniagaan supaya boleh digunakan pada waktu genting dan untuk mengembangkan perniagaan sedia ada.

* Guru dan ilmu.

Dalam apa-apa bidang sekalipun carilah seorang guru yang terbukti kejayaannya dan sanggup mengajar kita. Sebagai contoh, saya seorang usahawan produk kesihatan dan saya perlu mencari usahawan yang terbukti kejayaannya dalam bidang produk kesihatan supaya saya dapat dipimpin dari bawah dan ketahui ilmu ‘jalan pintas’ untuk berada di puncak lebih pantas dengan cabaran yang minimum.

Ramai usahawan baharu yang mendaki puncak keja­yaan yang yakin dan berasa gah tanpa mencari guru dan ilmu. Tidak boleh dinafikan sebaik-baik guru adalah pengalaman.

Mengapa kita tidak belajar daripada pengalaman orang lain? Lebih pantas bukan? Ba­nyak usahawan yang kita lihat berada di titik teratas jatuh tersungkur umpama layang-layang terputus talinya. Antara puncanya adalah tiada guru yang menjadi penunjuk aras untuk kejayaan yang lebih besar lagi. Mereka mudah ‘gelong’ dan berada dalam zon selesa atas kejayaan semasa.

* Perbaharui dan naik taraf ilmu sedia ada.

Pemasaran dalam talian sangat berkembang pesat dan sangat pantas. Usahawan yang menjalankan perniagaan offline sangat terasa perubahan ini di mana ramai di antara mereka mula menyertai kelas dan kursus pemasaran dalam talian. Begitu juga syarikat korporat, mereka mula mewujudkan satu jabatan khas untuk pemasaran dalam talian. Walaupun syarikat besar dan kukuh mereka terasa tempias perubahan ini. Bukan hanya ilmu dalam pemasaran tetapi juga dalam pengurusan perniagaan.

Akhir kata, sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku dalam perniagaan anda terutama sekali kepada usahawan muda dan baharu. Tiada istilah gagal dalam kamus perniagaan tetapi setiap kejatuhan adalah satu langkah untuk menuju kejayaan demi memajukan anak bangsa dan negara.

RIJAL SHAHRIL adalah penuntut Tahun 3 Bacelor Sains Hortikultur di Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia.