Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pelaksanaan Strive-15 di bawah tiga teras iaitu mening­katkan pulangan secara mampan, pengurusan pelaburan yang berkesan dan memacu kecemerlangan operasi juga sudah menampakkan hasil yang di­sasarkan.

“Antara kejayaan yang dicapai termasuklah peningkatan pendapatan yang membolehkan PNB membayar dividen dan bonus sebanyak 7.25 sen serta bonus khas satu sen untuk 10,000 unit pertama kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) sempena ulang tahun PNB ke-40.

“Pengagihan dividen dan bonus ASB serta unit-unit amanah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang lain melibatkan RM14.4 bilion untuk 2017. Lebih RM172 bilion telah dibayar kepada para pelabur sejak PNB ditubuhkan,” kata beliau dalam perutusan sempena ulang tahun ke-40 PNB semalam (17 Mac) di sini hari ini.

Abdul Wahid berkata, PNB terus unggul sebagai sebuah syarikat pengurusan pelaburan terbesar negara disokong oleh pelan strategik yang mampan dalam memacu kejayaan kepada lebih 13.3 juta pelaburnya.

“Sebanyak 98 peratus daripadanya dilaburkan di dalam negara untuk membantu mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk rakyat Malaysia termasuk peluang saksama kepada golongan profesional Bumiputera terlibat dalam sektor korporat,’’ ujarnya.

Menurut beliau, 70 peratus daripada dana tersebut dilaburkan dalam saham-saham syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Pelaburan dalam saham-saham tersenarai bernilai RM200 bilion merangkumi lebih 10 peratus daripada nilai modal pasaran syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Antara syarikat yang terlibat adalah Maybank, Sime Darby Plantation, Sime Darby Berhad, Sime Darby Property, SP Setia, UMW Holdings, UMW Oil & Gas, Chemical Company of Malaysia Bhd. (CCM), CCM Duopharma dan MNRB.

“PNB juga memiliki pela­buran dalam lebih 40 syarikat-syarikat Teras seperti Te­lekom Malaysia (TM), Axiata, MMC, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan BIMB Holdings di mana kami memiliki pelaburan lebih RM1 bilion dalam syarikat-syarikat berkenaan,” katanya.

Tambah Abdul Wahid, PNB menyediakan pekerjaan kepada lebih 179,000 orang dengan majoritinya adalah wanita.

Menurutnya, syarikat-syarikat strategik PNB mematuhi keperluan 30 peratus ahli Lembaga Pengarah daripada kalangan wanita.

“Tiga daripada 10 syarikat strategik kami dipengerusikan oleh wanita iaitu Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsuddin, Pengerusi CCM, Datuk Normala Abdul Samad dan Pengerusi CCM Duopharma, Tan Sri Siti Sa’adiah Sh. Bakir,” ujarnya.