Mungkin faktor harga yang murah, proses yang lebih ringkas dan keputusan yang dibuat juga agak pantas. Hanya sekadar mempunyai laman media sosial sahaja, anda sudah boleh memulakan perniagaan. Tetapi jangan lupa daftar dahulu perniagaan anda di Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Saya tidak perlu hurai dengan lebih mendalam tentang strategi dalam industri peruncitan ini kerana ia tidak begitu sukar untuk dilakukan.

Namun ia sangat berlainan jika dibandingkan dengan industri B2B. Permainan syarikat-syarikat B2B di media sosial tidak semudah yang disangkakan. Mereka tidak akan mampu untuk menukarkan para pengunjung yang datang ke Facebook, Twitter dan Instagram yang ada kepada pe­langgan berbayar di media sosial. Mereka memerlukan lebih daripada sekadar laman media sosial sahaja.

Mengapa?

Perniagaan seperti khidmat juru perunding, pelaburan, syarikat pengurusan majlis, khidmat latihan, teknologi maklumat dan lain-lain mempunyai latar belakang yang kompleks. Ia tidak mudah untuk difahami. Biasanya mereka hanya boleh menarik perhatian para pengunjung untuk datang dan mengenali mereka secara ringkas di laman media sosial, itu sahaja. Tujuan mereka mudah, untuk memastikan agar mereka tertarik dengan apa yang dilihat.

Setelah tertarik dengan melihat status-status yang dimuat naik, mereka akan membuatkan pengunjung-pengunjung itu tadi agar berasa mahukan maklumat yang lebih mendalam lagi. Dari sini, para pengunjung tadi akan terus melayari laman web rasmi syarikat tersebut untuk membuat rujukan yang lebih mendalam.

Apakah strategi pemasaran media sosial yang boleh diguna pakai oleh syarikat-syarikat B2B?

LinkedIn.

Sekiranya syarikat anda tidak mempunyai kehadiran di LinkedIn, agar sukar untuk anda mendapatkan perhatian syarikat lain yang berpotensi menjadi pelanggan berbayar anda. Berbeza di Facebook, Twitter dan Instagram yang kebanyakan komuniti mereka adalah individu yang lebih ka­sual, di LinkedIn kebanyakannya adalah profesional.

Tahukah anda LinkedIn adalah platform media sosial nombor satu di dunia untuk golongan profesional? Mereka mempunyai keahlian seramai setengah bilion individu di seluruh dunia. Anda akan melihat sendiri bagaimana LinkedIn dapat membantu perniagaan B2B anda dengan efektif.

Ikon jenama syarikat

Para pengguna jarang akan mempercayai jenama kecuali ia adalah jenama-jenama yang besar. Kebanyakannya pengguna lebih mempercayai orang berbanding jenama, jadi jenama anda perlu mempunyai seorang ikon atau beberapa ikon yang boleh menjadi wajah kepada jenama syarikat anda.

Dari sini, kepercayaan akan lebih mudah diperoleh. Cuba lihat bagaimana jenama-je­nama produk yang berjaya di Malaysia, kebanyakannya menggunakan populariti ketua pegawai eksekutif masing-masing dalam proses mereka menguasai pasaran.

Ikon-ikon ini biasanya akan mempunyai akaun media sosial sendiri, memuat naik status-status yang mampu mendapatkan perhatian pasaran dan berusaha mendapatkan trafik dengan banyak ke akaun mereka. Kemudian secara perlahan-lahan mereka akan menarik trafik tadi untuk ke akaun media sosial jenama produk mereka.

Kerjasama antara para pekerja

Selain itu, faktor kerjasama pekerja-pekerja syarikat juga sama penting dalam strategi pemasaran media sosial ini. Mereka perlu membantu menaikkan penyebaran status-status yang dimuat naik oleh syarikat dan ikon jenama tadi kepada rangkaian sahabat dan kenalan ma­sing-masing.

Bayangkan syarikat anda mempunyai 20 orang pekerja, dan setiap orang mempunyai 3,000 kenalan di Facebook sahaja. Itu belum di platform-platform lain lagi.

Sekiranya 20 orang tadi menekan butang Like pada satu status yang dimuat naik di laman syarikat anda, seramai 60,000 orang akan pe­rasan tentang status syarikat anda itu. Itu kuasa organik yang anda boleh wujudkan sekiranya kesemua pekerja membantu ke arah satu objektif yang sama.

Buatkan pengguna berinteraksi dengan anda.

Facebook Messenger adalah satu aplikasi yang sangat berkuasa tetapi tidak banyak jenama di luar sana yang menggunakannya untuk berinte­raksi dengan bakal pengguna mereka. Anda tidak berinteraksi dengan mereka sebagai jenama syarikat dan bukannya sebagai diri kita sendiri. Itu kebaikan yang pertama.

Kebaikan yang kedua pula ialah anda boleh meletakkan ikon Facebook Messenger tadi ke dalam laman web syarikat anda. Ini akan lebih memudahkan sesiapa sahaja untuk berinteraksi dengan anda secara langsung.