Sekiranya anda ada mende­ngar terdapat ‘pakar pemasaran’ di luar sana yang menawarkan satu formula pemasaran yang berkesan untuk anda gunakan menjual produk anda, jangan percaya. Ia tidak lebih daripada sekadar janji kosong. Sebenarnya dalam membentuk strategi pemasaran, tidak pernah ada formula. Yang wujud hanyalah amalan-amalan terbaik atau best practices. Itu pun ia perlu diubah suai untuk disesuaikan dengan keadaan semasa dan produk yang anda pasarkan.

“Jika kempen pemasaran pro­duk mana-mana jenama mampu berjaya di Malaysia, maka dengan sendirinya ia akan berjaya di negara-negara lain di dunia.”

Ini kata-kata yang saya terdengar secara tidak sengaja dalam satu perbualan di meja sebelah ketika saya menghadiri satu forum pemasaran di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ia diucapkan oleh seorang eksekutif pemasaran yang berpengalaman dari sebuah agensi pengiklanan besar kepada rakan di sebelahnya. Secara peribadi, saya merasakan ada kebenaran kenyataan tersebut. Malaysia amat dikenali sebagai sebuah pasaran yang mudah untuk ditawan mana-mana bentuk pemasaran sekalipun.

Negara ini mempunyai penduduk yang berbilang bangsa. Itu faktor utama penyebab­nya. Masing-masing mempu­nyai tabiat yang berbeza, tahap ekonomi yang tidak sama, latar belakang budaya dan agama yang tidak sama antara satu sama lain. Yang pasti, strategi makro yang anda perlu pertimbangkan sekiranya ingin mempunyai satu kempen pemasaran yang paling berkesan ialah dengan menggunakan ketiga-tiga elemen ini dengan serentak - pemasaran digital, pemasaran secara tradisional dan juga perhubungan awam.

Mengapa?

Pemasaran digital.

Pada 2016, Malaysia mencatat sejarahnya tersendiri di mata dunia apabila statistik yang dikeluarkan oleh Facebook mendedahkan bahawa para pengguna Facebook di Malaysia mempunyai rakan seba­nyak 1.6 kali ganda berbanding pengguna di negara lain di dunia secara purata. Statistik yang sama juga menyebut sebanyak 18 juta akaun Facebook yang aktif dari Malaysia, iaitu sama jumlahnya dengan pengguna internet keseluruhan di negara ini. Tidak hairan juga apabila sejumlah 20 juta buah telefon pintar telah terjual setakat Di­sember 2017 lalu. Berdasarkan data-data tadi, jelas menunjukkan kita begitu gila bersosial di internet yang diakses melalui telefon pintar masing-masing. Petunjuk ini jelas memberitahu anda untuk segera mengambil kesempatan ke atas pemasaran digital bagi menarik perhatian sasaran pengguna untuk datang membeli. Di sini, kempen pemasaran anda perlu berada dan bergerak aktif.

Pemasaran secara tradisional.

Walaupun kebanyakan para pengguna memberi perhatian mereka di internet dan media sosial, tidak ramai yang berduit di sana kerana faktor usia yang masih muda. Biasanya golong­an yang mempunyai kapasiti yang tinggi untuk berbelanja sebenarnya ialah generasi yang dikenali sebagai Baby Boomers dan Generasi X. Generasi Baby Boomers merujuk kepada individu yang dilahirkan antara 1941 hingga 1960. Walaupun rata-rata kini berumur lebih daripada 58 tahun, yang menariknya golongan ini mempunyai kapasiti berbelanja kerana mereka mempunyai wang. Lebih dekat dengan umur persaraan, maka lebih stabil kewangan masing-masing. Tetapi anda harus faham, perhatian mereka jarang berada di internet dan media sosial. Ia sebaliknya berada di surat khabar, majalah, papan tanda, poster dan sebagainya. Begitu juga golongan X, yang dilahirkan antara 1961 sehingga 1980. Perhatian golongan ini pula agak seimbang, di antara internet dan media sosial, de­ngan dunia tradisional. Sekiranya golongan-golongan ve­te­ran ini termasuk dalam senarai bakal pembeli produk anda maka strategi pemasaran anda perlu berada di sini juga.

Perhubungan awam.

Hubungan dengan wartawan daripada media-media utama seperti televisyen, radio, media cetak dan media digital juga dititikberatkan. Ia disediakan dalam bentuk editorial atau berita. Siaran akhbar atau press release, sidang media dan majlis bersama pengamal media amat membantu kerana berita ini ditulis secara rasmi oleh pihak ketiga yang berkali­ber mampu memberikan impak yang kuat kepada jenama anda. Ia akan lebih diterima dan dipercayai oleh pembaca berbanding iklan.