Jika kita amati pergerakan pasaran saham sepanjang tahun ini, aliran menurun lebih banyak mendominasi pasaran daripada aliran menaik. Begitu juga pada saham-saham individu yang tersenarai di Bursa Malaysia yang lebih banyak mengekalkan aliran menurun daripada menaik sepanjang tahun ini.

Keadaan ini juga dilihat semasa peralihan kuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan bulan-bulan tertentu iaitu seperti Mei dan Oktober yang dikaitkan dengan bulan-bulan kejatuhan pasaran global dan tidak terke­cuali berlaku juga ke atas pasaran tempatan.

Pasaran mencatatkan aliran kejatuhan.

Sebagai pelabur dan pedagang saham yang sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan pasaran serta mempunyai banyak masa melihat perjalanan turun naik pasaran, kita menyaksikan banyak saham syarikat tersenarai mengalami kejatuhan yang teruk sehingga ada yang mengalami penurunan secara limit-down iaitu kejatuhan sebanyak tiga puluh peratus daripada harga penutup.

Dan sesetengahnya pula meng­alami dua hingga tiga kali penurunan limit-down ini. Berbanding dengan keadaan kenaikan secara limit-up yang jarang-jarang berlaku sepanjang tahun ini.

Oleh sebab daripada situa­si yang mana pergerakan penurunan lebih banyak berlaku berbanding pergerakan menaik sepanjang tahun ini berdasarkan maklum balas pengikut Cikgu Saham di media sosial Facebook, ramai yang memberitahu bahawa mereka mengalami kerugian di dalam pasaran saham. Dan ini tidak terkecuali yang menyatakan mengalami kerugian saham semasa membuat pembelian pada Oktober yang lepas.

Apa yang perlu dilakukan?

Sebagai newbie atau orang baharu dalam dunia saham, sememangnya mereka tidak mempunyai cukup ilmu, pengalaman dan bimbingan dalam membuat pelaburan dan perdagangan saham.

Walaupun sesetengahnya ada yang telah mengikuti pembe­lajaran saham atau menghadiri seminar dan bengkel saham, ba­nyak perkara yang tidak diterangkan dengan lebih mendalam.

Umum perlu ketahui bahawa pelaburan atau perdagangan saham ini boleh dilakukan sama ada untuk jangka singkat harian atau mingguan dan juga pelaburan jangka panjang atau sederhana. Sederhana boleh jadi memegang saham untuk beberapa bulan dan jangka panjang pula biasanya memegang saham yang dibeli untuk tempoh lebih satu tahun.

Pelaburan jangka panjang ini sekiranya mengikuti strategi pelabur tersohor dunia, Warren Buffett ialah lebih dari sepuluh tahun dan ia juga boleh mencecah sehingga dua puluh tahun. Juste­ru, newbie saham ini telah keliru dengan konsep pelaburan saham.

Ketika newbie ini membeli saham dan saham tersebut jatuh, mereka akan merasa panik dan tidak tentu arah sehinggakan ada yang menjual pegangan saham mereka disebabkan meletakkan stop loss pada saham yang dibeli.

Perlunya strategi dan kajian beli saham.

Sebagai pelabur jangka panjang, meletakkan stop loss ke atas pegangan saham adalah tidak sesuai. Strategi meletakkan stop loss ini hanya terbatas kepada pedagang harian, intra-hari dan pedagang kontra sahaja.

Pedagang saham yang di dalam kategori pelabur jangka panjang ini juga perlu membuat kajian yang lebih terperinci berbanding dengan pedagang jangka singkat. Pelabur jangka panjang lebih tertumpu kepada membuat analisis saham berpandukan pelaburan nilai dan pelabur jangka panjang ini juga seolah-olah kalis kepada sentimen pasaran.

Berbeza dengan pedagang jangka pendek yang perlu membuat kajian saham secara ha­rian atau mingguan dan mereka perlu sentiasa peka dengan perkemba­ngan semasa pasaran serta sentimen pasaran sama ada tempatan mahupun global.

Pelabur jangka singkat ini biasanya mengutamakan keuntungan yang dijana walaupun kadang-kala keuntungan adalah kecil kerana bimbang sekiranya keuntungan yang sedikit tidak diambil, ia akan menjadi rugi jika harga saham tiba-tiba jatuh.

Pedagang saham jangka singkat ini juga akan meletakkan stop loss ke atas saham-saham yang dibeli kerana ditakuti jika tidak meletakkan stop loss, harga saham akan terus jatuh sehingga tamat tempoh kontra bagi pedagang saham kontra.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.

Kepada yang ingin mempelajari tentang pelaburan saham di pasaran Bursa Malaysia, sila hubungi talian 019-2352037.