ABRAR A. ANWAR
ABRAR A. ANWAR 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abrar A. Anwar berkata, Standard Chartered membiayai individu, perniagaan dan projek yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan di pasaran dinamik.

Di peringkat global, Standard Chartered menyediakan pinjaman dan pendahuluan bernilai AS$2.6 trilion (RM10.77 trilion) kepada pelanggan korporat, institusi, komersial dan perbankan runcit pada 2017.

“Kami bekerja sama dengan pelanggan untuk memberi impak positif kepada alam sekitar dan sosial daripada aktiviti pinjaman dalam pelbagai sektor seperti infrastruktur dan pembiayaan mikro.

“Ini termasuk mengenal pasti dan membangunkan peluang bagi penyelesaian kewangan blended,” katanya dalam laporan Rumusan Kemampanan Malaysia Standard Chartered 2017 di sini hari ini.

Pada 2017, Standard Chartered membiayai dan memberi kemudahan kira-kira AS$1.2 bilion (RM4.97 bilion) untuk teknologi bersih dan menyediakan AS$1 bilion (RM4.14 bi­lion) untuk pembiayaan mikro.

Standard Chartered juga bertanggungjawab menguruskan perniagaan dan operasi untuk memberi nilai jangka panjang buat pemegang saham dan masyarakat.

Menurut Abrar, pihaknya melabur untuk masyarakat, bekerja dengan komuniti tempatan bagi menggalakkan pembangunan sosial dan ekonomi.

“Kesihatan dan pendidikan adalah asas kepada pembangunan sosial dan ekonomi, kami dengan rakan kerjasama tempatan menjalankan program bagi meningkatkan kesihatan rakyat dan peluang pendidikan.

“Pada 2017, lebih 8,000 hari sukarela telah direkodkan oleh kakitangan kami di Malaysia,” katanya.