Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Ekseku­tif Standard Char­-
tered Bank Malaysia, Abrar Anwar berkata, bank komited dengan budaya kerja supaya semua kakitangan tanpa perbezaan jantina rasa dihargai sekali gus dapat memberi sumbangan terbaik.

Katanya, untuk itu Standard Chartered mengambil inisiatif melancarkan Rangkaian Wanita Global dan komited terhadap dasar dan proses yang adil termasuk Piagam Bayaran Yang Adil.

“Bayaran yang saksama bermakna saraan adalah konsisten di peringkat lembaga iaitu tiada diskriminasi dalam pengiraan gaji. Visi kami adalah mewujudkan budaya kerjaya yang mana bakat dan individualiti dihargai dan dihormati. Setiap orang turut diberi peluang untuk cemerlang dan membangun.

“Piagam Bayaran Yang Adil juga merupakan satu cara untuk memastikan akauntabiliti kami dan mempunyai pengisytiharaan umum mengenai janji kami supaya semua rakan sekerja menikmati gaji yang adil,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

Komitmen Standard Chartered itu terkandung di dalam Laporan Pendedahan Gaji Mengikut Jantina yang dikeluarkan bank ber­kenaan.

Inisiatif tersebut diambil sempena sambutan Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei ke arah mencapai keseimbangan jantina dan merapatkan jurang bayaran gaji.

Buat masa ini, hampir 60 peratus kakitangan bank berkenaan di Malaysia adalah wanita dengan jawatankuasa di peringkat eksekutif menyaksikan 40 peratus adalah wanita.

Abrar juga merupakan anggota Majlis Kepelbagaian dan Inklusif Bank (D&I) di peringkat global yang dibentuk awal tahun ini untuk memperkukuhkan komitmen bank sebagai majikan pilihan dan meningkatkan nilai jenama.

Penubuhan majlis berkenaan adalah untuk memastikan bahawa Standard Chartered adalah tempat yang mana individu rasa dihargai dan dihormati dan dalam masa sama melaksanakan agenda D&I.