Ketua Dokumentari Produk Dagangan Standard Chartered, Samuel Mathew (gambar) berkata, TrackIT ketika ini telah dilancarkan di India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Qatar, Jordan, Bangladesh dan Oman.

Katanya, portal web dagangan itu bertujuan memudahkan pe­langgan Standard Chartered untuk menyemak status dagangan digital mereka tanpa memerlukan identiti pengenalan (ID) pengguna mahupun kata laluan.

Sebaliknya, jelas beliau, pelanggan hanya perlu memasukkan nombor siri transaksi berkaitan seterusnya dan akan dapat menye­mak status pembayaran mereka dalam masa sebenar menerusi s2b.standardchartered.com.

“Standard Chartered secara berterusan mengkaji keperluan pelanggan dari semasa ke semasa untuk memudahkan akses kepada pembiayaan perdagangan.

“Sehubungan itu, kami memanfaatkan teknologi terutamanya internet untuk segala-galanya atau Internet of Things (IoT) dalam menghasilkan produk serta perkhidmatan bersesuaian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Penggunaan teknologi ba­haru yang merupakan sebahagian daripada teknologi kewangan (fintech) memboleh­kan industri itu terus berkembang pesat seiring dengan negara-negara maju yang lain.

Dengan memanfaatkan teknologi baharu seperti ‘blockchain’, ia akan mengubah cara institusi perbankan mengurus data dan maklumat dengan selamat.

Dalam perkembangan lain, Stan­dard Chartered merupakan Penaja Emas Festival FinTech yang diadakan di Dewan Ekspo Singapura bermula 13 hingga 17 November 2017.

Festival FinTech anjuran Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) dengan kerjasama Persa­tuan Bank-Bank Singapura (ABS) dan SingEx Holdings dihadiri lebih 25,000 pengunjung dari 100 negara. – UTUSAN