Pengerusi SPNB, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, MoU itu akan menyaksikan MNC Wireless dilantik sebagai rakan kongsi penyelesaian teknologi digital SPNB.

Katanya, MoU itu adalah se­iring hala tuju transformasi digital SPNB dalam menambah baik tawaran produk dan perkhidmatannya kepada pelanggan, peng­urusan kerjasama rakan kongsi perniagaan dengan kedudukan baharu serta mengurangkan tempoh penyelesaian proses perniagaan.

“Kami mahu membantu semua pihak memiliki kediaman dan perkongsian usaha sama ekuiti ini akan memenuhi tujuan itu di samping membolehkan kami terus menyokong pembeli rumah, serta mendigitalkan proses perniagaan SPNB,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir pada majlis menandatangani MoU itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali; Pengerusi SPNB Dana, Wan Omar Abdul Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Dana, Hilmy Abdul Malik; Pengerusi MNC Wireless, Wong Kok Seong dan Ketua Pegawai Eksekutif MNC Wireless, Christopher Tan.

Platform digital itu akan dilancarkan pada 2018 terdiri daripada platform berorientasikan perniagaan kepada pengguna (B2C) untuk rakyat dan pemilik kediaman daripada projek perumahan SPNB.

Ia adalah mudah alih dan berasaskan web, aliran navigasi mesra pengguna yang meningkatkan tahap penglibatan, sekali gus membolehkan akses kepada maklumat mengenai projek SPNB secara lebih menyeluruh dan pantas.

Platform digital itu akan ditambah dengan enjin platform maklumat hiburan dengan keupayaan pemasaran dalam talian, ciri media sosial, keupayaan pesanan ringkas, penyelesaian bayaran bersepadu dan penyelesaian penyiaran.

Selain itu, MNC Wireless akan memeterai perjanjian bersyarat dengan mTouche Technology Bhd., syarikat senaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia, untuk pembangunan platform itu pada hari ini.