Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi memastikan projek itu berjaya, SPNB akan menja­linkan kerjasama pintar dengan se­buah syarikat swasta.

“Jika program itu dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, sekurang-kurangnya 500,000 unit rumah dapat dibina.

“Cadangan ini juga sudah mendapat kelulusan dasar di peringkat Kabinet dan kini diperincikan sebelum dimuktamadkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-20 dan Sambutan Aidilfitri SPNB di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pengerusi SPNB, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad; Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perumahan berkata, idea untuk membina projek perumahan di kawasan kumbahan di seluruh negara itu merupakan idea kreatif yang dijana bagi mengurangkan penggunaan tanah untuk kawasan kumbahan.

“Dengan menggunakan tek­no­­logi baharu ini hanya lima hing­ga 10 peratus kawasan akan diguna­kan untuk tujuan kumbahan manakala selebihnya digunakan untuk kawasan perumahan awam tanpa berkompromi dengan isu berkaitan kesan kumbahan.

‘‘Teknologi baharu yang digunakan ini menjamin persekitaran yang berkualiti,’’ katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pada masa ini, kerajaan mencari pelbagai kaedah untuk menangani tiga masalah utama rakyat iaitu berkaitan dengan kos sara hidup, kos pengangkutan dan juga kos perumahan.