Menurut SP Setia, projek itu akan dibangunkan menerusi syarikat kerjasama, Retro Highland yang dimilikinya 50 peratus manakala selebihnya oleh Tradewinds Corporation Bhd. se­telah menandatangani perjanjian penswastaan dengan DBKL.

Katanya, perjanjian itu bagi merancang, mereka bentuk, membina, menyiapkan dan me­ngendalikan projek perumahan rakyat berkualiti mapan (QSPH) melibatkan 3,971 buah kediaman, 112 buah kedai, pasar dan kemudahan awam yang lain.

“Kos anggaran pembangunan dan keuntungan daripada cada­ngan pembangunan itu adalah bergantung kepada pelbagai faktor antaranya, tempoh pelancaran, keadaan ekonomi, permintaan pasaran, jumlah unit sebenar, jenis hartanah yang akan diba­ngunkan dan harga unit. Faktor berkenaan tidak dapat ditentukan pada masa sekarang.

“Malah, ini juga merupakan pembangunan bagi kerjasama awam swasta sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta membentuk kerjasama dengan DBKL bagi melaksanakan inisiatif pembaharuan bandar di bawah Struktur Pelan 2020 Kuala Lumpur,” katanya dalam makluman di Bursa Malaysia di sini hari ini.

Sebagai balasan, Retro Highland akan dianugerahkan tanah pajakan seluas 21.14 hektar di Cheras yang akan dibangunkan dengan pembangunan bercampur.

Fasa awal bagi pembangunan projek tersebut merupakan sebahagian daripada perjanjian penswastaan yang akan melibatkan pembaharuan 3,971 buah rumah kluster di Taman Ikan Emas, flat kos rendah Sri Melaka, flat kos rendah dan rumah panjang Sri Pulau Pinang, flat kos rendah Sri Johor di bawah skim perumahan awam kerajaan, kemudahan setempat, kedai, ruang niaga dan pasar.

Keseluruhan pembangunan itu melibatkan pembaharuan 5,650 buah kediaman.

Fasa pertama akan bermula selepas memenuhi syarat-syarat terdahulu dalam perjanjian tersebut dan dijangka mengambil masa empat tahun untuk disiapkan manakala fasa kedua pula bermula selepas fasa pertama diserahkan kepada DBKL. Ia dijangka mengambil masa selama empat tahun dengan keseluruhan projek itu siap pada 2028.

Jelas SP Setia, pembangunan dan pertukaran tanah itu berada di kawasan tenggara Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur dan di timur stesen LRT Cheras. Ia terletak kira-kira lapan kilometer ke pusat bandar Kuala Lumpur dan tiga kilometer ke Viva Mall di sepanjang Jalan Loke Yew.

“Bagi pertukaran pembangunan, DBKL akan memindahkan pertukaran tanah, bebas daripada bebanan untuk Retro Highland. Nilai yang dipersetujui bagi pertukaran tanah ini ialah RM1.91 bilion terdiri daripada kos fasa pertama sehingga RM344.79 juta dan kos pembinaan fasa kedua sehingga RM835.12 juta.

“Ia juga melibatkan pertimbangan tunai sebanyak RM14.99 juta dan jika kos pembangunan adalah rendah berbanding kos anggaran bagi fasa pertama dan kedua, pertimbangan tunai tambahan bagi perbezaan itu akan dibayar kepada DBKL dengan sewajarnya,” katanya.