Pengerusi SME Corp. Malaysia (SME Corp), Tan Sri Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata, pelbagai aktiviti seperti pameran dan pemadanan perniagaan akan memberi manfaat terutama dalam transformasi e-dagang dan pendigitalan.

“Fokus kita pada tahun ini adalah menyediakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan e-dagang dan pendigitalan dalam menjalankan perniagaan harian mereka dengan pelbagai pengisian.

“Keistimewaannya ialah PKS tempatan berpeluang untuk digabungkan dan disepadankan bersama dengan pelbagai syarikat gergasi sebagai peneraju,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas melancarkan program ‘WhaddaHack’ di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan Smidex 2017 esok yang akan berlangsung selama tiga hari sehingga 17 November ini bertempat di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pelbagai program seperti Whad­daHack, Persidangan PKS, Pocket Talk, Pemadanan Perniagaan dan Pameran akan memberi lebih penjelasan tentang adaptasi pendigitalan, selain menjadi platform untuk bertukar pandangan dan maklumat.

Kemuncak sesi persidangan akan tertumpu kepada dua sesi bicara santai bersama dua tokoh hebat iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan jaguh dunia sukan berbasikal, Azizul Hasni Awang.

Sebanyak 26 syarikat peneraju akan turut serta dalam pameran antaranya Tesco, Mydin, Giant, Telekom Malaysia, Celcom, Digi, Maybank, Tenaga Nasional, Pos Malaysia, MRT Corp., Pharmaniaga, KPJ Healthcare dan Malakoff.

Mohamed Al Amin berkata, SME Corp juga menyasarkan nilai transaksi jualan keseluruhan yang lebih tinggi mencecah RM555 juta serta pengunjung seramai 10,000 orang sepanjang penganjuran acara buat kali ke 20 tersebut.

“Ini kali pertama kita adakan Smidex di MITEC, dan melihat kepada saiz ruang pameran serta pempamer yang terlibat, kita menjangkakan lebih ramai pengunjung meluangkan masa menghadiri acara pada tahun ini,” katanya.