RAZMAN MOHD NOOR
RAZMAN MOHD NOOR

Ketua Pegawai Operasi, Operasi dan Pengurusan Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Razman Mohd. Noor berkata, ini berdasarkan kepada prospek perusahaan kecil dan industri (PKS) yang dijangka positif tahun ini dan juga dalam kalangan pemain industri.

“Dengan persekitaran ekonomi yang baik tahun ini, banyak perniagaan kembali fokus dan ini memberi keyakinan kepada kami untuk melaksanakan program-program pengembangan bagi membantu PKS di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2018 dan Permohonan Atas Talian MySMEBank.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi SME Bank, Tan Sri Faizah Mohd. Tahir

MYSMEBank membolehkan para pelanggan memohon pembia­yaan dengan tempoh pemprosesan dipendekkan kepada 14 hari dan mengurangkan 41 peratus langkah permohonan.

Bagi pelanggan yang tidak menepati kriteria permohonan, mereka akan dirujuk kepada anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) dan Divisyen Pembangunan Usahawan SME Bank (EDD) untuk khidmat nasihat atas talian.

Menurut Razman, sejak prapelancaran pada 2 Februari lalu, seramai 100 usahawan telah mendaftar dalam sistem tersebut dan menerima sembilan permohonan pembiayaan berserta dokumen lengkap.

“Kita berharap 70 peratus daripada para pelanggan yang memohon pembiayaan akan menggunakan sistem ini. Malah, SME Bank akan terus menambah baik sistem ini dengan mendigitalkan sepenuhnya proses kelulusan dan pengeluaran pembiayaan.

Beliau juga memberitahu, Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge yang diadakan sejak 2012 hingga 2016 menyaksikan penyertaan 409 buah sekolah melibatkan 1,344 pelajar dan 424 guru.

Katanya, bagi memudahkan pihak sekolah, pendaftaran program itu akan dibuka secara dalam talian untuk kemudahan para pelajar dan juga guru.

“Tahun ini pula, kami menerima lebih daripada 50 peratus penyertaan baharu dengan sebanyak 118 penyertaan diterima berbanding tahun lalu dengan 91 penyertaan,” katanya.