Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Kamaluddin Ismail berkata, sambutan yang diterima bank itu setiap kali mengadakan program perjumpaan seperti ini amat memberangsangkan dan ia merupakan program kelima diadakan tahun ini.

"Program bertemu pelanggan seperti ini bertujuan menangani masalah kesukaran mendapat pembiayaan yang dihadapi oleh pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya bagi mereka yang berada di negeri Melaka dan Johor.

"SME Bank akan meneruskan program perjumpaan seperti ini di sembilan lagi lokasi di seluruh negara selepas ini dan setakat ini kita telah menganjurkannya di Subang (Selangor); Kuching (Sarawak); Tawau (Sabah) dan Alor Setar (Kedah)," katanya ketika berucap pada majlis perasmian program `Engagement' bersama kira-kira 100 pelanggan pusat wilayah selatan SME Bank di sini sebentar tadi.

Program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong dan turut dihadiri pengurusan kanan Kumpulan SME Bank.

Pada majlis itu, SME Bank menyerahkan surat kelulusan pembiayaan bernilai RM13.6 juta kepada enam pelanggan terpilih di Melaka dan Johor yang terlibat dalam sektor kejuruteraan, pembinaan, minyak dan gas dan perkhidmatan. - UTUSAN ONLINE