MOHD. RADZIF MOHD. YUNUS
MOHD. RADZIF MOHD. YUNUS

Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus berkata, tiga sektor yang menjadi penyumbang utama pembiayaan adalah perkhidmatan (69 peratus), pembuatan (15 peratus) dan pembinaan (13 peratus).

Katanya, bagi tahun 2017 SME Bank mengunjurkan peningkatan jumlah pembiayaan sekitar 7 hingga 8 peratus, biarpun jumlah sasaran tersebut lebih rendah daripada pertumbuhan yang direkodkan tahun lalu, beliau berkata ia masih lagi selari dengan unjuran yang dibuat industri.

Katanya, tahun lalu menyaksikan pertumbuhan portfolio pembiayaan melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 7 peratus biarpun berhadapan dengan situasi ekonomi yang mencabar.

“Saya menjangkakan pasaran akan kembali stabil untuk separuh kedua tahun 2017 dan unjuran pertumbuhan pembiayaan ini disokong oleh beberapa projek mega yang sedang berjalan seperti projek Transit Aliran Massa (MRT), Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor dan juga projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo (Pan Borneo) di Sabah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu Mohd. Radzif berkata, objektif utama SME Bank bagi tahun 2017 adalah untuk mengukuhkan keupayaan khidmat pelanggan bank selaras dengan hasrat kerajaan mempromosikan PKS dan syarikat-syarikat permulaan.

“Selaras dengan penekanan kepada sektor PKS dalam bajet 2017, kita akan memperluaskan capaian kepada PKS serta meningkatkan usaha untuk merangsang pertumbuhan sektor ini.

“Kami sentiasa mempertingkatkan standard kualiti dalam menyampaikan perkhidmatan dan juga dari segi kelulusan pinjaman serta memastikan pelanggan mendapat apa yang mereka perlukan,” katanya.

Untuk itu katanya, SME Bank akan menjalankan beberapa inisiatif baharu dan sedia ada antaranya program i-SMART yang dilancarkan Februari lalu oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, i-SMART diperkenalkan bagi meningkatkan tahap perniagaan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke peringkat global.

“Berasaskan Skim Anjakan Usahawan (SAU) yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, i-SMART diharap dapat melahirkan usahawan PKS yang mampu bersaing di persada antarabangsa melalui program-program yang menekankan kepada pengurusan kewangan yang efektif, pembangunan kapasiti, pemasaran strategik, bantuan pemudah cara dan lain-lain daripada SME Bank.

“Sebanyak 20 usahawan yang layak akan dikenalpasti oleh pihak SME Bank untuk dibimbing melalui Program i-SMART dan sebagai permulaan seramai tujuh usahawan telah dipilih untuk menyertai program ini,” katanya.

Dalam pada itu Mohd. Radzif turut menekankan pentingnya para usahawan PKS untuk berhubung secara terus dengan pihak Bank jika mereka berhadapan dengan sebarang masalah atau isu berkenaan mutu khidmat pelanggan yang diberikan.

“Kita minta PKS datang terus ke SME Bank bagi mendapatkan khidmat nasihat serta bantuan berkenaan dengan pinjaman dan sebagainya, kakitangan kami sedia membantu mereka,” katanya.

NABILA YASMIN RAZIB/PIX

ekonomi@utusan.com.my

habis

INFO

* Jumlah portfolio SME Bank sehingga Disember 2016: Kelulusan pembiayaan: RM26.0 bilion; portfolio pembiayaan: RM6.0 bilion

* Tiga sektor penyumbang terbesar : Perkhidmatan (69%) Pembuatan (15%) Pembinaan (13%)

* Unjuran pertumbuhan pembiayaan 2016: 7-8 peratus

* 20 usahawan akan dikenal pasti bagi sertai i-SMART, untuk permulaan 7 usahawan telah dipilih sertai program tersebut

*PKS disaran berhubung terus dengan SME Bank bagi khidmat nasihat dan bantuan

HABIS