Ketua Pegawai Eksekutif Esri Malaysia, C.S. Tan berkata, GIS yang dipetakan lokasinya de­ngan tepat di permukaan bumi kini merupakan satu teknologi yang begitu membantu syarikat untuk maju ke hadapan.

Katanya, Esri Malaysia merupakan penyedia penyelesaian GIS yang telah beroperasi di dalam negara lebih 35 tahun dan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Jelas beliau, pengusaha tiram yang berminat untuk memulakan perniagaan makanan laut itu dan sedang mencari lokasi terbaik ternakan memerlukan perisian dari Esri Malaysia.

“Berdasarkan data dan maklumat yang ada pada sistem Esri Malaysia, pengusaha itu akan mendapat cadangan lokasi yang bersesuaian dengan suhu untuk menternak tiram.

“Perisian yang ditawarkan akan dapat menjimatkan masa, kos dan kakitangan dalam me­lakukan penyelidikan lokasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Komputer menyimpan dan memproses data-data digital yang diperoleh berkaitan sosioekonomi dan alam sekitar dikenali sebagai GIS.

Jika dahulu, GIS hanya digunakan oleh pasukan tentera bagi mengkaji kedudukan dan me­rancang strategi berdepan musuh berdasarkan keadaan muka bumi, namun GIS kini boleh diakses oleh orang awam demi kemudahan masing-masing.

Tan berkata, sekiranya seorang pelancong mahu mencari tempat yang harus dilawati atau tempat makan di sesebuah negara, kebanyakan aplikasi pelancongan menggunakan GIS untuk memberi cadangan berdasarkan lokasi semasa individu itu.

“Perisian GIS bukan sahaja memberi manfaat kepada kerajaan, syarikat awam dan swasta malah pengguna juga akan dapat merasai kepentingannya,” katanya.