Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Abu Bakar Mohamad Diah berkata, Standard Industri SIRIM dapat membantu industri terutamanya dalam aspek kawalan kualiti, memudahkan penerimaan produk di pasaran, pengurusan organisasi atau industri serta menjaga aspek keselamatan dan kesihatan komuniti.

“Standard Industri SIRIM yang dibangunkan khas untuk sesuatu industri, persatuan atau organisasi akan memberikan penyelesaian terbaik kepada masalah yang berulang dan bukannya hanya menawarkan penyelesaian secara ad-hoc,” katanya semasa melancarkan SIRIM Standard Industri bersempena Sidang Kemuncak Kualiti Kebangsaan 2015, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif SIRIM, Datuk Dr. Zainal Abidin Mohd. Yusof dan Naib Presiden Bahagian Teknikal SIRIM, Azim Ng. Seminar tersebut dihadiri 150 peserta terdiri daripada ketua pegawai eksekutif, pengarah syarikat, ketua jabatan, perunding dan pengamal kualiti.

Abu Bakar berkata, MOSTI telah memperuntukkan sebanyak RM372,000 kepada SIRIM untuk membangunkan PKS bagi mewujudkan budaya kualiti dan inovatif untuk menambahbaik proses dan produk mereka. Sehingga kini, sebanyak 50 PKS telah dibantu.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Pusat Pengurusan dan Penyelidikan Standard SIRIM, Abdul Aziz Long berkata, SIRIM mengambil masa hingga lapan bulan untuk membangunkan Standard Industri yang menjadi penanda aras kepada pihak industri dan merupakan satu-satunya standard bertaraf nasional.

“Kita mahu pada masa akan datang, PKS mempunyai kesedaran untuk mengguna pakai standard ini dan dapat membantu mereka menawarkan produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan standard ditetapkan oleh badan-badan tertentu terutama dalam menghadapi persaingan apabila Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dilaksanakan,” katanya.

Pelaksanaan Standard Industri SIRIM merentasi pelbagai sektor daripada pertanian, pelancongan, pengangkutan, penjagaan kesihatan, tenaga hinggalah teknologi maklumat.

Standard tersebut terdiri daripada lima peringkat iaitu standard organisasi, standard industri, standard kebangsaan, standard serantau dan standard antarabangsa.

Setakat ini, SIRIM telah membangunkan tujuh standard di bawah Standard Industri iaitu SIRIM 1:2014, Garis Panduan Kebersihan Tandas Masjid dan Surau; SIRIM 2:2014, Garis Panduan Penarafan Kebersihan Tandas Masjid dan Surau; SIRIM 3:2014, Kod Amalan Pemasangan dan Penyelenggaraan Kipas Siling dan SIRIM 4:2014, Amalan Baik Untuk Melaksanakan Pengurusan Keselamatan Perjalanan.

Sehubungan itu, Abdul Aziz menyifatkan, pelaksanaan Standard Industri merupakan satu lagi kejayaan SIRIM kepada pembangunan PKS di negara ini dalam usaha meningkatkan kesedaran mereka terhadap keperluan standard.