Melalui sokongan kerajaan menerusi Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Sime Darby Plantation, SIRIM telah membina satu stesen pengisian gas BioNG di Merotai, Tawau, Sabah dan dijangka beroperasi pada September ini.

Stesen gas BioNG itu yang menyediakan bahan bakar mesra alam dihasilkan daripada sisa bio seperti sisa buangan kelapa sawit terhasil dalam bentuk gas dan merupakan biofuel yang jauh le­bih baik berbanding diesel kerana mengan­dungi karbon yang rendah.

Dalam istilah teknikal, BioNG adalah kimia sama seperti gas asli konvensional dan boleh ditukar ganti sepenuhnya dan merupakan bio gas yang ditulenkan serta bersifat pelbagai dan cekap se­perti gas asli petroleum.

Pengarah Pusat Per­industrian Inovasi Dalam Gas Asli Bio SIRIM, Azhar Abdul Raof berkata, stesen bioNG di Merotai itu mempunyai kapasiti tinggi iaitu bersamaan jumlah 6,000 liter diesel sehari untuk pengguna lebuh raya dan kenderaan perlada­ngan yang menggunakan sumber tenaga gas asli yang banyak.

“Sabah adalah pengeluar terbesar industri sawit negara dan SIRIM memilih negeri ini sebagai projek pertama bagi stesen BioNG untuk tujuan komersial sepenuhnya kerana projek rintis untuk menghasilkan BioNG di Pulau Carey di Banting, Selangor adalah untuk projek penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Untuk menampung jumlah penggunaan BioNG itu, kita memerlukan kira-kira 10,000 atau 20,000 hektar kawasan ladang kelapa sawit atau lebih luas untuk menyalurkan gas asli ke loji janakuasa yang terletak kira-kira 300 meter dari kolam sisa bua­ngan kelapa sawit,” ka­ta­nya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Azhar berkata, penduduk setempat se­perti pekerja ladang atau orang awam kini mempunyai pilihan untuk menggunakan bahan bakar lebih mesra alam kerana pelepasan karbon BioNG yang rendah berban­ding diesel atau petrol.

Tambahan pula, katanya, pro­ses untuk menukarkan efluen (sisa buangan) minyak kelapa sawit ke­pada BioNG adalah mudah, berbanding gas asli petroleum yang diambil dari bawah tanah atau dasar laut.

Malah, katanya, BioNG tidak memerlukan pembinaan paip yang mahal dan teknologi rumit untuk menarik keluar gas ke permukaan bumi.

“Langkah pertama yang kita lakukan ialah, memasukkan ef­luen ke dalam sistem tangki tertutup atau closed pond untuk menghasilkan bio gas, kemudian bio gas yang terhasil akan disalurkan ke tempat peneutralan yang akan menapis kotoran seperti hidrogen sulfina, karbon dioksida dan kelembapan.

“BioNG yang dihasilkan mempunyai kandungan metana lebih tinggi daripada bio gas mentah, sekurang-kurangnya 93 peratus metana yang menjadikannya setanding dengan gas asli konvensional,” ujarnya.

Menurut Azhar, harga BioNG dianggarkan 30 hingga 40 sen lebih murah berbanding diesel, cuma pengguna perlu menyediakan sebuah silinder khas dalam kende­raan mereka kerana kenderaan ko­mersial yang ada sekarang tidak menyediakan tempat khas untuk mengisi gas BioNG.

Ditanya sama ada SIRIM bercadang untuk bekerjasama de­ngan agensi kerajaan atau industri dalam bidang BioNG, beliau menjelaskan, pihaknya kini menjadi rakan kongsi dengan pelbagai syarikat perlada­ngan, kementerian, pembuat fabrikasi, penyedia teknologi tempatan dan antarabangsa.

Katanya, SIRIM juga telah membentuk satu jawatankuasa yang terdiri daripada pihak industri, ahli akademik dan penyelidik untuk membantu membangunkan standard bagi industri BioNG memandangkan pada masa ini tidak ada standard untuk kualiti BioNG yang dihasilkan.